Friday, May 4, 2018

Dr Mahathir jangan menghina mangsa Memali

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

Mahathir tetap Mahathir, jika anda mengkaji dengan mendalam biografinya dengan objektif, maka anda melihat tampang hitam dan putih ini bukan terlalu sukar untuk dibedakan. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri negeri ini, dalam kepesatan pembangunan yang berlaku tetapi regimnya menyubur rasa takut rakyat untuk bersuara melalui undang-undang drakonian. Penyalahgunaan kuasa dengan timbunan skandal besar bersalut KKN negara dibungkus rapi dengan program dan slogan muluk-muluk seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, slogan "Bersih, cekap dan amanah", kepimpinan melalui teladan dan pelbagai slogan yang meloyakan. Sangat paradoks!.


Semalam semasa berceramah di pentas PH Lembah Pantai, mantan diktator ini terus berbohong dan menfitnah. Tanpa sepicing rasa bersalah,beliau menfitnah Presiden PAS mengkafirkan beliau dan UMNO dan disambuk tepukan gemuruh khalayak pendengar. Beliau dengan angkuh mengatakan mangsa tragedi 19 November 1985 sebagai mati katak yang sia- sia. Aku menghela nafas panjang dan membekap dada mendengar ucapan Tun yang bagiku akan menobatkan Tun sebagai liabiliti kepada PH untuk PRU 14. Bukan sekadar enggan meminta maaf pada keluarga mangsa,namun menambahkan garam pada luka , Tun makin terseret jauh diakhir usianya.

Beliau tetap beliau, tiada yang berubah walau disintuklimau oleh penyokong PH dan anak muda kail sejengkal yang tidak merasai keperihan di zaman Dr Mahathir. Bagi saya, dia adalah liabiliti dalam gerakan oposisi untuk menjatuhkan BN. Dilihat tidak harmoni dengan istana, pihak keselamatan negara, agamawan apabila memimpin oposisi,bahkan di zaman beliau dimerak kuasa, beliau bermusuh dengan semua Timbalan Perdana Menteri dan pantang berseberangan ide dengannya.

Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA, antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda.

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban  dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak mufti-mufti  untuk memikul beban kesalahan beliau. Suruhanjaya siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini.

(Penulis ialah Calon Parlimen Besut, Pengerusi LESTARI)

No comments:

Post a Comment