Monday, July 12, 2010

Siti Aishah dan semangat Srikandi

Jika sekadar melihat kepada kemulusan raut wajahnya, mungkin tidak ramai yang percaya gadis ini sebenarnya seorang pemidato hebat di pentas dan berpandangan jauh serta matang ketika berbicara.

Melihat kepada kecil molek tubuhnya gadis-gadis sebaya, tidak mudah orang percaya dia sebenarnya mempunyai cita-cita besar, aktif memperjuangkan nasib generasi muda dan boleh bertukar agresif di jalan raya.

Namun itulah Siti Aishah Shaik Ismail, 25, gadis bersemangat waja dan terserlah kematangan yang melampaui usia dalam tutur bicaranya, termasuk mahu mengembalikan kecemerlangan generasi muda.

Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat sejak 2008 itu ditemui di Temerloh baru-baru ini. Kesempatan bertemu di rumah Tajuddin Ramli, diambil untuk bersembang ringkas dengannya. Beliau dalam rangka lawatannya selama tiga hari turun ke Pahang untuk berceramah dan merintis penubuhan Srikandi peringkat negeri ini.

Itulah yang dilakukannya saban minggu, bersama 7 orang anggota Srikandi berpergian ke serata pelusuk tanah air bagi memenuhi tuntutan perjuangan. Termasuk ke Sabah dan Sarawak.

Aishah merupakan Pembantu Media bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin hingga kini. Anak bongsu daripada lima beradik ini lahir di Selangor dan membesar di Perak. Berkelulusan Teknologi Maklumat dari Universiti Malaya.

Berbicara tentang keutamaan sayap PKR itu pada masa ini, Aishah berpendapat dengan cogan kata ‘Srikandi Sinar Negara’ fokus utamanya kini ialah menarik golongan anak muda wanita menjadi ‘celik politik’.

“Walau dalam bidang lain mereka lemah, tapi biarlah mereka cerdik politik. Sebab tanpa kesedaran ini, bangsa tersebut akan tertipu selamanya. Fokus utama kami kepada golongan muda dan kami tidak mahu mereka hanya diperlakukan menjadi tukang gantung bendera atau tukang sorak semasa pilihan raya saja. Jadi kami pimpin generasi muda dengan, kerana itulah sebagai aset mereka.

“Saya berpendapat generasi muda ini golongan yang mudah dididik kerana mereka masih rebung, bukan buluh,” katanya.

Sayap Srikandi dibuka keahliannya kepada wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun. Setakat ini, kata Aishah, dari segi sambutan dan peningkatannya yang sangat memberangsangkan. Apa lagi mendapat galakan dan kerjasama daripada Wanita PKR yang mereka anggap sebagai simbol ibu.

Bercakap mengenai cabaran Puteri Umno pula, Aishah optimis akhirnya pengaruh sayap parti pemerintah itu sedang menurun berdasarkan maklum balas yang diterimanya hasil lawatan ke seluruh negara.

Lagipun, golongan muda mereka hanya hanya didekati Puteri Umno semasa pilihan raya sedangkan di tempat sebenar, umpamanya di parlimen, mereka tidak nampak terkehadapan membela nasib generasi muda.

“Ruang kita luas kerana pengaruh Puteri Umno kini semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu. Kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

”Ini menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka. Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti, itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

”Sebaliknya, Srikandi bersungguh-sungguh mendekati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar. Antaranya sudah mula membuat program dengan mahasiswa. Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasuk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina,” tegasnya.

Aishah berkata, di peringkat Pakatan Rakyat (PR),Srikandi juga mengadakan persefahaman dengan Nisa’ iaitu salah satu sayap Muslimat PAS dan bergabung di peringkat kepimpinan. Pertemuan kerap diadakan bagi merangka program bersama.

Bagi mendepani gejala dan permasalahan sosial remaja yang mana peratusannya sering meningkat setiap masa terutama dalam bandar, Srikandi bergabung dengan NGO kebajikan dan pendidikan.

“Salah satu fokus dan objektif kami supaya generasi muda ini lebih terpimpin. Bukan macam sesetengah parti yang hanya mendapatkan mereka untuk dijadikan pengundi mereka saja. Kami bimbing ke arah jalan hidup yang lebih baik,” katanya.

Mengenai kelembapan pendaftaran pengundi Melayu, Aishah berpendapat itu kerana kegagalan SPR sehingga generasi muda tidak berminat atau takut kepada politik.

“Kami sudah ada sukarelawan yang pergi mengutip pendaftaran pengundi baru dari rumah ke rumah di bandar-bandar, kampung tradisional dan Tanah Rancangan Felda. Bagi kami SPR gagal menyakinkan golongan muda peri pentingnya mengundi atau ambil remeh isu politik.”

Bercerita tentang negerinya sendiri, selepas rampasan kuasa di Perak tahun lalu, beliau bersama anggota Srikandi lain telah turun kepada orang ramai dan mengumpulkan tandatangan penduduk negeri itu.

Alasan beliau mudah, kerana isu rampasan kuasa di Perak bukan isu BN atau PR, tetapi sebagai isu hak rakyat. Kekuasaan adalah milik rakyat dan lantikan rakyat. Jadi jika terjadi sesuatu hak untuk memberi kekuasaan itu mesti dikembalikan kepada rakyat. Katanya mereka mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa itu kerana tindakan tersebut mencabul hak rakyat.

Bagi Aisyah, penerangan dan maklumat sangat penting. Justeri Srikandi dalam masa terdekat ini mengambil tindakan drastik untuik menerbitkan buletin yang bakal memaparkan cita rasa generasi muda. Srikandi akan pastikan bahan tersebut hanya berlonggok di markas atau pejabat parti, sebalikinya akan sampai ke tangan kumpulan sasaran.

Akhirnya Aishah mengimpikan generasi muda yang ada ini dipimpin dengan kematangan politik yang jelas dan beradab sehingga lahir pemimpin yang boleh dipimpin.

“Jika Umno mempromosikan Juara Rakyat, kami pula mendokong Rakyat Juara Kepada Serikandi. Dengan lain-lain perkataan, perjuangan kami ialah untuk memertabatkan rakyat,” tegasnya penuh bersemangat.


Gambar:
Aishah (tengah) bersama timbalannya Farah Afzan (kiri) dan Ketua Penerangannya Normaisuri Zainal.


No comments:

Post a Comment