Fakta rasmi bahawa sejumlah 257,000 sijil kelahiran dari 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa, sebagaimana titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah baru-baru ini, sebenarnya amat serius dan perlu diperhatikan semua pihak.
Angka tersebut merujuk kepada perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari!
Baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada 2007 kepada 16,541 dalam 2008 dan 17,303 pada 2009.
Ini bukan sekadar fakta angka, malah inilah realiti betapa parahnya masyarakat kita pada hari ini.
Bagi sesetengah ulamak, gejala yang mengundang kemurkaan Allah ini adalah berpunca daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan.
Budaya hedonisme dan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan.
Mengapa kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat di kalangan masyarakat sedangkan dalam tempoh 50 tahun ini sudah banyak program Islam diterapkan dalam pemerintahan?
Pihak kerajaan pernah ada dasar penerapan nilai-nilai Islam. Negara ini pernah ditonjolkan sebagai negara Islam terbaik di dunia, Islam Hadhari dan terbaru 1Malaysia. Slogan-slogan ini dikatakan telah menarik beberapa orang ulamak muda untuk menyertai Umno.
Tetapi kerajaan membenarkan pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan dengan pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran.
Selain itu, penganjuran konsert hiburan yang terlalu banyak turut menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah. persoalannya mengapa kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat.
Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya? Apakah kerajaan mampu memantau setiap pergerakan remaja dan kemana mereka pergi setelah tamat menonton konsert?
Tambahan pula, dengan ledakan maklumat melalui internet dan telefon bimbit yang tiada had meloloskan segala kemungkaran dengan mudah untuk diakses.
Penekanan terhadap tarbiyah dan pendidikan agama yang longgar menyemarakkan lagi faktor kelahiran anak luar nikah. Sistem pendidikan negara hari ini gagal membentuk peribadi dan syakhsiyah remaja untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah dan bagaimana masyarakat boleh mengharapkan generasi akan datang menjadi insan yang baik dan bebas dari maksiat sedangkan generasi yang lahir pada hari ini ramai lagi yang jahil dan buta agama?
Apa nak jadi dengan umat Islam dan bangsa Melayu dalam negara ini?
Dalam akhbar sehari dua ini juga didedahkan terdapat pelacur di kalangan pelajar sekolah. Jika begini, bagaimana dapat dibendung gejala maksiat?
Ada yang berkata, tindakan satu pihak menyediakan pusat ‘bayi tong sampah’ iaitu anak luar nikah yang dibuang oleh ibunya, juga menyebabkan pelaku-pelaku zina ini pada masa akan datang tidak takut lagi untuk ‘terlanjur’ dan mengandung kerana tempat simpan bayi mereka sudah ada dan mendapat peruntukan kerajaan.
Itupun kalau nak diikutkan hasrat Kerajaan Umno/BN, pelajaran ‘bagaimana mengadakan seks yang betul’ akan diperkenalkan di seekolah-sekolah!
No comments:
Post a Comment