Tuesday, July 6, 2010

Felda: Bankrap ke tak bankrap?



"Pokoknya semua syarikat yang dikendalikan Umno gulung tikar. Tengok apa jadi dengan Bank Bumiputera yang lahir hasil daripada konvensyen Melayu. Tengok juga apa jadi dengan Sime Darby. Apakah para peneroka mahu Felda jadi bankrap seperti itu baru mahu berdemonstrasi."

Nampaknya tajuk utama akhbar Suara Keadilan “Felda bangkrap” terus diambil kesempatan dan diperkatakan umum, terutama puak gerabak Umno yang berada dalam tanah-tanah rancangan.

Malangnya, sebahagian besar mereka tidak tahu pun berkenaan aset, harta dan pendapatan Felda. Malah mereka tidak pernah ambil peduli pun selama ini.

Kenapa sekarang tiba-tiba melompat kononnya mahu menjadi hero?

Terbaru, seperti disiarkan akhbar Sinar Harian, Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga, Zulkepli Baharom, melahirkan keyakinan bahawa kedudukan kewangan Felda masih lagi stabil dan kukuh, lebih-lebih lagi Felda masih meneruskan programnya seperti biasa.

Mana beliau tahu? Setakat duduk di kerusi MBF apakah sudah boleh mengaudit atau melihat akaun urusniaga Felda Holding yang berkorporat hingga ke luar negara?

Tanpa niat untuk memperkecilkan sesiapa, setahu kita, kebanyakan pemimpin kecil MBF tidak tahu apa-apa tentang akaun dan kewangan Felda tetapi h Zulkepli anya memberi alasan: sekiranya Felda dikatakan muflis, peneroka tidak dapat menerima duit sara hidup setiap bulan malah anak-anak peneroka yang dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi juga tidak dapat merasa imbuhan bernilai antara RM500 hingga RM1,000.

“Peneroka mahupun generasi Felda tidak akan terpedaya dengan fitnah dan tohmahan parti pembangkang ini.

“Mereka hanya mahu memecahbelahkan keharmonian di Felda selain menjadikan itu salah satu strategi menarik warga Felda untuk mengundi mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada lagi belia yang terpengaruh dengan kenyataan itu tetapi sekiranya ada, pihaknya akan bersemuka dengan individu terbabit untuk menerangkan situasi yang sebenar agar mereka kembali ke pangkal jalan.

Sementara itu, Bendahari MBFM Wilayah Mempaga, Rosli Abd Rahman berkata, sejak lima tahun yang lalu, peneroka masih menikmati kemudahan dan prasarana yang disediakan walaupun Felda dan ini membuktikan Felda tidak pernah bankrap.

Memanglah Felda masih berupaya membayar semua itu, tetapi bayar dengan duit siapa? Duit pokok Najib atau wang hasil titik peluh peneroka yang dipotong melalui pelbagai aneka potongan setiap bulan?

Kamu tahukah itu?

Pimpinan Felda dan orang-orang politik jika mereka menghabiskan wang Felda sekalipun,mereka tidak akan dikira berhutang. Yang terus menerus dikira berhutang ialah para peneroka yang membanting tubuh mereka saban hari di ladang.

Tahukah MBF bahawa Timbalan Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan sendiri mengakui bahawa status kewangan Felda merudum dari RM4.08 bilion pada 2004, kepada RM1.35 bilion pada 2009. Ini kejatuhan yang sangat dahsyat, iaitu kira-kira 65 % dalam tempoh lima tahun.

Tahukah MBF bahawa antara alasan kelangsaian wang Felda itu adalah disebabkan RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil. Sebanyak RM203 juta wang Felda juga digunakan untuk pinjaman rumah, RM253 untuk tabung kemiskinan Sabah dan RM662 untuk bangunan baru Felda.

Tahukah MBF bahawa semua alasan tersebut tidak logik dan menimbulkan banyak persoalan?

Ini disebabkan, setiap peneroka yang terlibat dengan tanam semula telah mencarum setiap bulan dan dipotong oleh pengurusan Felda selama 15 tahun dan dilaburkan pula. Mengikut kiraan kami, sebanyak RM3 bilion terkumpul untuk tujuan itu. Jadi mengapa perlu dibelanjakan sehingga RM2 bilion lagi?

Bagi setiap pinjaman perumahan yang dibuat peneroka pula merupakan hutang yang dibayar balik setiap bulan. Mereka dikenakan kos pengurusan 2.5 peratus. Jadi mengapa perlu dikeluarkan RM603 juta itu. Ke mana wang tersebut dibelanjakan?

Mengenai wang Felda dibelanjakan untuk membiayai kemiskinan di Sabah, Mazlan berkata ia tidak relevan kerana jumlah penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.


Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda (Plantation)itu,'' soal Mazlan lagi.

Bagi harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta juga dipertikaikan kerana laporan sebuah akhbar harian sisipan khas pada 26 Februari 2008, menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.
Kenapa berlaku perbezaan harga yang sangat ketara?

Isu ini sangat besar kerana membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan lebih 800,000 generasi baru Felda. Kita tidak mahu wang milik institusi pembangunan tanah bertujuan membasmi kemiskinan orang Melayu ini dibazirkan sesuka hati.

Kita tidak mahu Felda akhirnya benar-benar bankrap.

Tapi MBFM apa tahu?

No comments:

Post a Comment