Monday, July 26, 2010

Kenyataan Pengurus Besar Felda bagus, tapi…

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din, akhirnya berbunyi dalam isu ‘rusuhan’ peneroka berkaitan potongan terus wang berjumlah RM120 untuk tabung tanam semula 20 tahun lagi.

Katanya, selesaikan melalui rundingan.

Responsnya dalam Sinar Harian 25 Julai itu, sudah tentu ditujukan kepada tindakan peneroka-peneroka Jengka 18 yang menanam semula kali pertama dulu yang dua kali berdemonstrasi baru-baru ini kerana tidak berpuas hati.

“Tidak perlu melakukan demonstrasi dan memanggil pihak media kerana ia hanya akan memalukan keluarga Felda sendiri. Kita berbincang secara rundingan. Jika tidak selesai dengan pengurus Felda, jumpa saya, jika tidak selesai juga, saya akan bawa ke pihak atasan. Jangan kerana isu kecil ini, jasa dan pengorbanan Felda selama 40 tahun dilupakan,”.

Persoalannya, kenapa Felda sendiri tidak berbincang dengan peneroka tanam sendiri untuk potong wang mereka melalui jualan buah ke kilang Felda itu? Sedangkan, wang potongan tabung tanam semula kali pertama milik mereka yang RM17,000 dulupun belum dikembalikan Felda?

Walau bagaimanapun baguslah kalau sedar tentang perlunya perundingan, jangan anggap peneroka Felda hanya kuli estet di tanah hak milik mereka sendiri.

Peneroka sudah tentu tidak lupakan jasa Felda. Tapi Felda juga tidak sepatutnya melupakan jasa peneroka yang sejak setengah abad dulu menghamburkan keringat, air mata dan darah di tanah ladang demi untuk meneruskan kehidupan. Hasilnya, Felda hari ini gah sebagai ‘kuasa sawit’ terbesar di dunia.

Satu lagi, jangan lupa tidak ada yang percuma untuk peneroka. Daripada sarung tangan, kereta tolak, benih, baja, racun, rumah, jalan, ladang, barang makan dan setiap sen hutang semuanya sudah dipotong siap-siap oleh Felda.

Bahkan, duit untuk tanam semula berjumlah RM17,000 yang sudah dilakukan peneroka sendiri, sudah dipotong sejak 20 tahun dulu.

Bila peneroka menanam sendiri, kenapa potongan RM17,000 itu tidak dipulangkan balik kepada peneroka?

Bila sudah begitu, kenapa mahu dipotong lagi dengan tiga kali ganda (dari RM40 ke RM120)?

Itu sahaja yang peneroka mahu.

Baguslah Encik Saari, lain kali ajaklah peneroka berunding kalau ada apa-apa hal. Sebab, mereka bukan lagi peneroka seperti 50 tahun dulu!






No comments:

Post a Comment