Sunday, July 18, 2010

Naik barang, GST, naik gaji, kemudian PRU

Saya kebetulan berkesempatan dijemput makan malam bersama seorang korporat semalam.

Apa lagi, apabila bertemu saya sering bertanyakan kepadanya tentang persoalan ekonomi, iaitu bidang yang terang-terang saya katakan, saya jahil tentangnya.

Oleh kerana beliau seorang korporat yang bijak menganalisis isu-isu ekonomi berbangkit dan kontemporari, lazimnya apa yang diperkata dan diramalkannya, selalunya tepat dan berbetulan.Itulah yang saya perhatikan.

Semalam sambil membaham durian, saya sempat bertanya kepadanya tentang keberanian kerajaan BN pimpinan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertindak menaikkan lima jenis barangan baru-baru ini termasuk gula dan minyak.

Semua jawapannya memuaskan hati saya. Namun paling memukau ialah dakwanya, bahawa pilihan raya umum (PRU) tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat, jadi sebab itulah Najib berani bertindak untuk menaikkan harga barang. Maknanya, kecoh-kecoh yang sedang berdentam-dentum sekarang masih bukan petanda PRU sebenarnya.

Kenaikan barangan tersebut kononnya itu satu cara pendekatan ekonomi kapatalis pragmatis yang dianut Umno untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Ini dikatakan ada kaitan politik dengan sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada masa ini. Kononnya, orang Cina hanya berfikir tentang survival ekonomi ketika membuat perhitungan mengundi dan apabila ekonomi berkembang, harapan Umno ialah etnik tersebut akan kembali menyokong BN.

Selepas itu, dakwa korporat berkenaan, kerajaan Najib akan mengenakan GST (yang tertangguh) pula, iaitu sistem percukaian yang sudah tentu akan menindas rakyat. Namun beliau memberitahu, perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana dikatakan hanya negara ini yang masih menangguhkan pelaksanaannya.

Walau bagaimanapun nanti, kerajaan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan mungkin pelaksanaan gaji minumum kepada kakitangan swasta. Ini kerana terpaksa sebagai umpan politik, setelah dijangkakan berlaku gelombang keluh kesah rakyat.

Di hujungnya, barulah akan diumumkan PRU ke-13.

Termanggu-manggu juga saya mendengar teori ekonomi. Sebab, memang saya tak pandai ekonomi. Dulu masa arwah abah suruh belajar tinggi-tinggi, saya tak endah. Sekarang belajar secara tua sahajalah!


No comments:

Post a Comment