Tuesday, July 27, 2010

Ulamak PAS Pahang minta polis siasat Shafie Apdal


TEMERLOH: Dewan Ulama PAS Negeri Pahang (DUPNP) semalam membuat laporan polis terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengeluarkan kenyataan PAS merupakan Parti Ajaran Sesat.

Laporan dibuat pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh diketuai Ketua Dewan, Ustaz Abu Kassim Manaf.

Dalam laporan terbabit DUPNP mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan Mohd Shafie yang mengeluarkan kenyataan itu semasa perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai Jaya awal Julai lalu.

Abu Kassim berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu dikategorikan sebagai biadap, mencetuskan provokasi, menghasut dan boleh menggugat ketenteraman awam.

“Merujuk kepada laporan Sinar Harian 7 Julai lalu yang bertajuk PAS beri amaran buat laporan polis jika Mohd Shafie gagal menarik balik kenyataan yang dikeluarkan.

“Selepas dua minggu dan tempoh tarik balik kenyataan tamat semalam, tidak ada sebarang tindakan daripada Mohd Shafie maka DUPNP membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya.

Turut hadir di IPD Temerloh semalam Naib Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Pahang Ahmad Nafiri Mat Tozi dan Bendahari Johari Ishak.

Abu Kassim berkata, PAS hari ini meminta PDRM segera membuat penyiasatan terhadap ucapan tersebut supaya tidak berulang lagi kejadian seperti ini.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Mohd Shafie adalah langsung tidak tepat kerana PAS menggunakan dasar perjuangan Islam yang berlandaskan al-Quran dan hadis.

Sementara itu Mohd Nafiri berkata, mana-mana perjuangan yang tidak berlandaskan al-Quran dan Hadis itulah yang sesat sedangkan PAS berlandaskan al-Quran dan Hadis.

“Jelas kenyataan Mohd Shafie satu fitnah kepada umat Islam dan cuba menimbulkan provokasi,” katanya.

~ Sinar Harian


No comments:

Post a Comment