Meskipun tidak ramai yang menyanjungnya sebagai pejuang, namun hasil kemerdekaan dan nikmat yang dikecapi anak bangsanya hari ini sudah cukup untuk membuatkannya tersenyum puas.
Bagi lelaki bersemangat waja ini, Abdullah Hashim, 77, beliau tidak pernah menyesali pilihan yang diambilnya iaitu bertempur secara gerila dengan penjajah kerana ia lahir daripada keyakinan. Walaupun terpaksa mengorbankan lebih separuh daripada usianya dalam rimba belantara tanpa pengiktirafan pemerintah.
“Masa darurat diisytiharkan (1948) saya pada ketika itu berusia 18 tahun. Rakan-rakan seusia saya ada yang mengambil keputusan untuk ke Singapura atau ke Kuala Lumpur untuk menjadi anak wayang atau mencari pekerjaan, saya memilih masuk hutan,” kata bekas anggota Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Malaya,PKM itu ketika ditemui di teratak usangnya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh baru-baru ini.
Kata Abdullah yang dikenali dengan panggilan “penghulu” di kalangan kawan-kawan seperjuangannya, beliau ketika itu mendaftar sebagai anggota kumpulan bersenjata kerana memang benar-benar berhasrat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah British.
“Kebetulan pada masa itu penduduk-penduduk di Temerloh dan persekitarannya memang menyokong perjuangan revolusional untuk menghalau penjajah kerana sisa-sisa perjuangan Dato’ Bahaman dan pahlawana-pahlawan Melayu tempatan masih segar”.
Anak Semantan kelahiran Kampung Tualang, Temerloh itu bersama 10 orang rakan-rakannya mendaftar untuk menyertai perjuangan bersenjata Rejimen Ke-10 yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949 di Lubuk Kawah. Di sana mereka terus dilatih menggunakan senjata yang kebanyakannya diperolehi daripada home guard.
Apabila Rejimen Ke-10 pimpinan Abdullah CD memilih untuk ‘berundur’ ke sempadan Siam, anak kedua dari empat beradik ini turut menyertai perjalanan panjang itu menempuh belantara. Turut serta dalam gerombolannya ialah Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Ahmad dan beberapa tokoh lain.
Oleh kerana susuk tubuh Abdullah tinggi dan tegap serta ketangkasannya, beliau diamanahkan sebagai pengawal peribadi kepada pemimpin. Menurutnya perjalanan ke Siam menyusur jajaran jalan keretapi dan beliau sempat bertempur beberapa kali dengan tentera penjajah.
“Perjalanan memakan masa berahun-tahun dan saya sempat dilatih oleh anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dalam bidang perubatan pergigian. Sehinggalah saya menjadi tukang gigi dalam kumpulan dan juga sewaktu menetap di perkampungan sempadan Siam,” katanya.
Apabila termeterai perjanjian perdamaian tiga pihak antara Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thailand di Haadyai pada 2 Disember 1989, bapa kepada seorang anak itu memilih untuk kembali ke Temerloh, tanah tumpah darahnya.
Menurutnya, rakan-rakannya sudah ramai yang tidak ada lagi di dunia ini dan yang tinggal hanyalah kesan-kesan perjuangan sengitnya dahulu. Itupun telah diputarbelit dan tidak diiktiraf oleh sejarah yang ditulis oleh anak didik penjajah.
”Jangan lupa, kemerdekaan yang diperolehi hari ini merupakan hasil sumbangan perjuangan orang terdahulu termasuk kami patriot tulen yang memilih jalan sendiri, walaupun tanpa penghargaan dan keadilan catatan sejarah,” katanya dengan suara keuzuran.
Abdullah kini hanya mampu terbaring di rumah lama milik keluarga isterinya akibat keuzuran dan masalah jantung. Pejuang ini hidup di dalam kedaifan tetapi masih bersemangat kental apabila diajak bercerita tentang perjuangan.
Kepada individu atau mana-mana para dermawan yang ingin memberikan sedikit sumbangan kepada Abdullah, amat dialu-alukan dan boleh berhubung dengan Tajudin Ramli, di nombor: 019 9887111.
Gambar
Abdullah yang kelihatan uzur sewaktu dilawati di rumahnya.
No comments:
Post a Comment