Kadang-kadang sukar dipercayai bagaimana orang-orang yang dikategorikan pemimpin boleh berucap seperti orang bodoh-bodoh. Kita mungkin tidak tergamak untuk mencapkan pemimpin tersebut bodoh, sebab jika bodoh tidak mungkin seseorang itu boleh diangkat sebagai pemimpin.
Kalau begitu, apa?
Jadi sebagai berprasangka baik, lebih elok kita katakan mungkin pemimpin yang tidak bodoh itu berucap bagi memperbodoh-bodohkan orang lain.
Apa yang kita maksudkan ialah cabaran Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak yang meminta bukan penyokong Umno dalam kalangan peneroka untuk menyerahkan semula geran milik mereka kepada Felda.
Kata Adun Chenor itu, kumpulan peneroka bukan Umno itu sebagai pencetus kepada perpecahan keharmonian warga Felda dengan kewujudan isu ‘Felda bankrap’ dicabar keluar dari tanah mereka sendiri.
Ini apa jenis pemikiran.
Menurut berita sebuah akhbar harian semalam, Tan berucap demikian di hadapan lebih 600 peneroka di seluruh Felda Wilayah Jengka di Perhimpunan Membantah Provokasi Suara Keadilan dalam isu ‘Felda bankrap’ di Jengka 23, kelmarin.
Barangkali Tan yang seorang ini kurang faham, bahawa tanah dalam rancangan itu bukan hak milik Felda. Itu hak kerajaan negeri (dibaca hak rakyat) dan apabila sudah menjadi hak milik seseorang setelah habis hutang dengan Felda, maka tanah 10 ekar itu sudah menjadi haknya!
Barangkali Tan tak tahu bahawa Felda hanyalah agensi pemaju tanah peneroka yang semua kos dikeluarkan semasa memajukan tanah itu, dikira hutang. Dan hutang itu ditolak atau di’potong meja’ daripada hasil tuaian ladang-ladang milik peneroka itu, dalam pay sheet lagi.
Agaknya Tan tak faham, Felda bukan estet. Felda hanya kontraktor yang memajukan tanah, apabila siap habis kerja dia kontraktor kena keluar.
Habis, kalau tanah sendiri kenapa Tan boleh mencabar supaya tuan tanah keluar dari tanah sendiri dan serah tanah kepada Felda?
Pemikiran jenis apa ini?
Inilah yang susahnya.
Kita daripada Pakatan rakyat ini cuma mengingatkan bahawa Felda boleh bankrap jika diurustadbir seperti sekarang. Bayangkan, dalam masa lima tahun sahaja wang tunai Felda boleh susut atau lesap sehingga lebih RM2 bilion atau lebih 60%. Ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Maksudnya, jika Felda (yang ditadbirkan oleh pemimpin Umno) tidak diingatkan, ia boleh bankrap seperti halnya dengan syarikat-syarikat lain iaittu Bank Bumiputera, Sime Darby dan lain-lain.
Datuk Tan pun tahu bagaimana apabila Umno memerintah Pahang yang kaya sumber hasilnya ini, hampir muflis. Ini disahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara.
Jadi berbalik kepada cabaran Tan yang juga board director kepada agensi tersebut tadi, yang meminta peneroka bukan Umno serahkan tanah kepada Felda. Barangkali beliau hanya mempolitikkan isu ‘Felda bankrap’ bagi menakut-nakut peneroka penyokong Umno supaya jangan melawan.
Juga supaya peneroka pro-Umno jangan cuba-cuba mempertikai atau bertanya tentang kewangan Felda. Biarlah Felda terus diperbuat apa saja oleh pemimpin Umno.
Peneroka berjiwa Umno mesti terus duduk diam-diam sebab Felda terus bagi mereka kemewahan!
No comments:
Post a Comment