Apa-apa juga alasan dan justifikasi diberikan, bagi saya tindakan menyamatarafkan Perdana Menteri Najib Tun azak dengan pahlawan Melayu tersohor negara ini Almarhum Mat Kilau, adalah tidak wajar sama sekali, mengelirukan orang ramai, kebudak-kebudakan dan menghina sejarah itu sendiri.
Gambar di atas dipampangkan di muka depan tabloid Sinar Harian edisi Ahad, 4 Julai 2010.
Gambar tersebut dihadiahkan kepada Najib selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerantut. Gambar lukisan bertajuk “Pahlawan Melayu Pahang” membariskan gambar Najib, Tun Razak. Mat Kilau dan seorang lagi yang tidak berapa dikenali.
Mungkin tujuan gambar ini dilukis sekadar hiburan bagi mengambarkan betapa sukacitanya dan menjadi pujaan Umno Jerantut memperoleh seorang perdana menteri yang berasal dari Pahang, lalu disebariskan dengan Mat Kilau.
Ketokohan Mat Kilau diakui dunia, malah perjuangannya termaktub dalam khutub khanah di London. Beliau menggadai nyawa mempertahankan agama dan tanah air daripada pencerobohan dan penjajahan kafir British.
Beliau juga bersama beberapa pemimpin Melayu seperti Orang Kaya Semantan Dato’ Bahaman dan ayahandanya sendiri Imam Perang Rasu atau Tok Gajah telah menggerakkan kesedaran orang-orang Melayu ketika itu bangun berjuang menentang penjajahan, penindasan dan kezaliman.
Mat Kilau ‘mengajar’ bangsa penjajah iaitu kuasa terbesar dunia ketika itu, bahawa orang Melayu masih punyai maruah dan integriti bangsa sendiri sehingga tidak mudah ditakluk fizikal spiritual dan mentalnya.
Pendek kata, Mat Kilau ialah legenda pahlawan Melayu yang amat digeruni pada satu ketika dahulu mengukir nama dalam sejarah negara kerana berani tampil menentang penjajah meski pun tanpa kekuatan, kelengkapan dan sokongan setara.
Memang beliau bukan seorang perdana menteri yang punyai kuasa besar bagi tujuan politik dan memberi projek. Namun beliau menjadi simbol kegagahan, simbol keberanian dan semangat waja bangsa Melayu sendiri.
Jika Mat Kilau berperang dengan penjajah, Najib berperang dengan siapa? Anwar? PAS?
Sejarah tidak boleh ditipu. Kenapa begitu mudah menyamakan tokoh legenda orang Melayu dengan hanya seorang pemimpin Umno? Memang, Najib juga seorang tokoh tetapi beliau berada dalam kelasnya yang lain.
Apakah perasaan anak cucu Mat Kilau apabila melihat dua tokoh tersebut disamatarafkan?
Justeru janganlah menipu sejarah, kelak anak bangsa Melayu akan datang juga yang akan tertipu apabila melihat Mat Kilau hanya setaraf Najib. Kerana kesan daripada gambar tersebut adalah besar dan berpanjangan.
Barangkali kesilapan inilah yang tidak disedari Umno Bahagian Jerantut!
No comments:
Post a Comment