Friday, July 23, 2010
Dilokap kerana bantah harga barang naik
KUANTAN: Duduk selokap dengan penjenayah serta penagih dadah dan bermalam atas simen, merupakan pengalaman buruk yang sukar dilupakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan Kamarul Hatta Md Ali.
Bukan itu sahaja, menurut Hatta beliau yang diberkas bersama dua orang lagi iaitu Setiausaha Wanita PKR Pahang Fadilah Abd Wahab dan Ketua Wanita PKR Raub Zainun Abu Bakar, juga tidak dibenarkan menunaikan sembahyang.
Mereka ditangkap berikutan demonstrasi aman membantah kenaikan harga gula dan minyak anjuran team Wanita PKR Pahang (Tawan) di Taman Gelora dekat sini 18 Julai lalu, dipercayai di bawah Akta Hasutan.
Menurut Hatta, program tersebut turut disertai Ketua Wanita PKR Pusat yang juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
“Kira-kira pukul 5 petang saya bersama 25 orang termasuk YB Zuraida turun ke pasar malam Taman Gelora untuk mengedarkan risalah membantah kenaikan harga barang. Apa yang mengejutkan kami ialah rupa-rupanya sudah lebih 20 orang polis menunggu.
“Ketika saya cuba mengangkat kain rentang yang membantah kenaikan harga barang, saya kemudian ditangkap. Apa yang membuatkan saya kesal ialah saya diberkas seperti seorang penjenayah besar sehingga untuk menyerahkan kunci kereta kepada isteri pun tidak diizinkan,” katanya.
Menurut Hatta, selepas tangkapan mereka kemudian dibawa ke lokap IPD Kuantan setelah beberapa perundingan pemimpin PKR negeri dengan pihak polis gagal membebaskan mereka.
Namun apa yang dikesalkan, katanya, ialah terpaksa duduk dan tidur di atas simen sebilik dengan banduan dan penagih dadah.
“Sekarang pun badan saya masih rasa sakit-sakit,” katanya yang dibebaskan bersama dua tahanan lain keesokan harinya.
Sementara itu Pengerusi PKR Pahang Dato' Fauzi Abdul Rahman yang berusaha menjamin untuk membebaskan mereka, melahirkan rasa kecewa dengan penahanan tersebut.
"Tindakan polis ini jelas sekali berselindung disebalik politik sebenarnya. Apakah salahnya rakyat mahu mengadakan bantahan terhadap sesuatu tindakan mereka yang dikira tidak betul dan membelakangkan rakyat?. Jika membawa poster membantah kenaikan harga barang pun dianggap jenayah, ini bermakna kerajaan Umno- BN sudah semakin terdesak sekarang ini. Mereka rela menangkap dan menakutkan rakyat sesuka hati mereka", katanya.
Dalam pada itu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili ketiga-tiga pemimpin PKR itu berkata tangkapan yang dibua tidak munasabah dan hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Kami berpendapat tidak ada kes dan kesalahan disisi undang-undang dalam penangkapan ini kerana tidak ada provokasi. Tindakan ini hanya yang bertujuan untuk menakut-nakut dan menutup mulut rakyat daripada bersuara membantah kenaikan harga barang.
“Selepas ini kita jangka tidak mudah untuk rakyat bangun membantah sebarang kenaikan yang menyusahkan kehidupan mereka melainkan terpaksa duduk diam dan menelan sahaja apa yang disajikan kerajaan kepada rakyat.”
Caption:
Kamarul Hatta ditemui selepas dibebaskan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment