Nampaknya tajuk akhbar Suara Keadilan ‘Felda bankrap’ terus menerus dijadikan bahan kempen Umno. Isu yang sepatutnya diselesai, dimusyawarah dan dihuraikan secara ilmiah dan memuaskan hati semua pihak, kini akhirnya menjadi modal politik Umno.
Apa yang sebenarnya diutarakan di mana simpanan tunai Felda lesap sebanyak 65% dalam masa lima tahun, terus disembunyikan tanpa penjelasan apabila isu sebenar ditutup dan pendedahannya dikutuk.
Terbaru, Presiden Umno Najib Tun Razak dilaporkan berkata seperti dipetik akhbar pro-Umno dengan tajuk: Peneroka marah Felda dihina.
“Seluruh warga peneroka di tanah rancangan Felda di negara ini marah dengan perbuatan akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghina institusi yang sudah banyak berjasa dan membawa pelbagai kemajuan dalam kehidupan mereka,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Laporan yang Najib terima itu tidak betul, sebab mereka yang marah itu bukannya seluruh peneroka tapi hanya segelintir peneroka ekstrimis Umno sahaja. Umpamanya, di Felda Bukit Damar adalah beberapa orang budak-budak Umno berdemonstrasi membantah akhbar Suara Keadilan.
Tapi penajanya ialah Suhaimi Tan iaitu AJK Pemuda Umno Temerloh dan pemimpin Majlis Belia Felda (MBF) Pahang. Penulis sangat kenal dengan Suhaimi ini, bahkan agak rapat dari segi mu’ayasyah dengan bekas kerani sekolah yang kini jadi kontraktor itu.
Jadi kalau itu nak diterjemahkan sebagai mewakili seluruh peneroka, itu tak betul. Jumlah yang membuat laporan polis terhadap Najib dan Ahmad Maslan di Balai Polis Temerloh hari itupun lebih ramai lagi.
Tetapi puak-puak ini pandai, mereka berkumpul dan panggil wartawan Sinar Harian, maka masuklah muka dan cerita mereka dalam surat khabar!
Begitu juga pada hari berikutnya di Jengka, di mana sekumpulan budak budak, berlatih demontrasi di belakang Balora Mastika,Bandar Jengka dengan tulisan pada manila card bertulis 'Felda Tak Bengkrap'!
Menurut seorang sahabat, Aris Fezul, demonstrasi ‘nak masuk surat khabar’ itu bukannya diadakan di tempat orang ramai, tetapi di ceruk tempat orang kurang lalu lalang. Sekadar nak ambil gambar untuk Sinar Harian!
“Bukan apa,kalau demontrasi tu tengah tengah Nadi Kota,diketawakan orang pulak. Sebab nampak sangat nak mengampu Felda walaupun Felda pun menyampah dengan muka dia.
“Orang Jengka pun kenal sangat muka-muka yang selalu kenyang dengan duit Felda ni. Dengar ceritanya perangai ketua demontrasi itu dah berjangkit pada anak perempuan dia pulak. Mana taknya lepas tak dipilih dalam MBF cawangannya, segala penyata kewangan, buku kira kira, baki duit MBF tak di pulangnya kepada pimpinan baru, sebab dia ingat MBF ini bapak dia punya.
“Demontrasi dengan budak-budak pagi tadi tentu saja ada kepentingan peribadinya, inilah peluang nak jadi hero. Ada rezeki boleh jadi calon, banyak lagi duit Felda boleh diambil manafaat. Orang Jengka 11 pun belum lupa, kisah korban perdana pemuda Umno. Felda habis ratus ribu untuk beli lembu korban Pemuda Umno. Lepas lembu kena sembelih, tokey lembu pulak dikorbankan,” tulis Aris dalam blognya.
Rupa-rupanya gelagat sebahagian pengampu Umno dalam Felda ini amat dipercayai Najib. Sehingga beliau sehingga ‘Menteri Felda’ ini menganggap ia suara peneroka. Barangkali laporan yang diterima dari ejen risikannya tak tepat, atau sengaja dipolitikkan.
Tapi isu wang Felda yang lesap bukan dusta, antaranya didedahkan sendiri oleh bekas Timbalan Menteri Koperasi, Datuk Dr Tan, baru-baru ini.
“Mana ada FELDA bankrap... ini perbuatan menghina satu institusi yang begitu banyak berjasa kepada masyarakat luar bandar selama ini,” kata Najib.
Kita akui Felda sebagai agensi pemaju, banyak berjasa kepada bangsa Melayu selama ini. Tapi adakah Najib tidak faham bahawa Felda hanya sekadar agensi pemaju, sedangkan tanah rancangan bukan milik Felda, tapi milik peneroka sebagai warganegara yang mengusahakan tanah itu. Ini berdasarkan undang-undang Akta GSA 1960.
Sekali lagi, Felda hanya agensi pemaju atau lebih mudah difahami, sebagai kontraktor! Apakah Najib tidak faham ini, atau buat-buat tak faham? Suhaimi Tan dan ketua demo di Jengka itu mungkin tak faham. Tapi Najib?
Jangan lupa, segala wang, kekayaan dan aset yang dimiliki Felda, ialah hak peneroka yang dibina sejak setengah abad lalu melalui titisan darah, keringat dan air mata.
Hasrat Allahyarham Tun Razak penerokaan tanah hutan belantara melalui agensi Felda dulu ialah untuk mengubah nasib orang Melayu di luar bandar, Tetapi Felda hari ini sudah dijadikan badan korporat dan tempat bermewah-mewah mereka yang berjawatan tinggi.
Peneroka? Tinggallah mereka dalam kedaifan dan terus melarat tanpa dipedulikan, dibelenggu pelbagai masalah.
“Jangan bimbang kerana Felda akan terus membela masyarakat penerokanya di seluruh negara kerana ia adalah hasrat kita sejak dulu lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerantut, semalam.
Demikianlah ucapan seorang yang bergelar Perdana Menteri.
Pernahkah mereka yang mahu digelar pemimpin dan pejuang Felda ini berfikir tentang peneroka yang dibelit hutang tidak pernah habis? Gred buah sawit yang ditipu Felda? Tanah yang diserah kepada Felda Plantations yang sebahagian besarnya tak terurus? Potongan wang tanah semula sejak mula masuk Felda tidak pernah dipulangkan? Penafian pelbagai hak sebagai tuan tanah?
Tahukah Najib, Suhaimi Tan dan kepala demo di Jengka bahawa setiap barangan yang dibekalkan mula-mula masuk Felda dulu seperti cop, cangkul, topi, kereta sorong, rumah, baja, racun dan semuanya dikira hutang dan peneroka kena bayar balik?
Apakah mereka sedar tentang nasib generasi kedua yang langsung tidak punya masa depan jika bergantung kepada Felda?
Baru-baru ini dikeluarkan satu statistik tentang kejayaan akademi anak-anak Felda. Tapi, sedarkah mereka hanya berapa ramai anak-anak Felda yang berjaya ini diserap ke dalam pentadbiran Felda bagi menguruskan ladang ibu bapa mereka? Siapa yang berada di atas tampuk pentadbiran Felda?
Pernahkah mereka diberitahu tentang jumlah aset Felda, iaitu sebahagian daripada khazanah sumbangan ibu bapa mereka?
Kita percaya, Umno mungkin boleh mneghimpunkan lebih ramai lagi juak-juak dan konco-konco mereka berdemonstrasi membantah ‘Felda Bankrap’ selepas ini, sebab ini memang agenda mereka. Kita percaya Umno akan lakukan provokasi ini demi survival politik mereka dan mereka telah mengakui bahawa di situlah lubuk terakhir kekuasaan politik mereka.
Tetapi semakin banyak peneroka dan generasi kedua mengikut telunjuk mereka, semakin jauhlah kepincangan sebenar dalam Felda daripada dapat diketahui para peneroka dan anak cucu mereka!
No comments:
Post a Comment