Saturday, July 31, 2010

Syed Ibrahim ‘kempen’ serah sekolah agama kepada kerajaan BN pusat

Ucapan Pegawai Khas Agama Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung PIBG SMA Al-Khairiah hari ini, saya kira agak canggung dan merimaskan banyak pihak.

Apa tidaknya, ketika dalam ucapannya itu, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau itu mencadangkan Sekolah Agama Negeri (SAN) seperti Al-Khairiah itu diserahkan kepada Kerajaan Pusat, dengan hujah, 18 SAN yang ada di Pahang ini daif, sempit dan ketinggalan termasuklah tidak ada padang permainan.

Beliau memberi bandingan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang diserahkan kepada kerajaan BN melalui SABK, katanya, sudah pun jauh maju ke hadapan.

Rupa-rupanya saranan beliau itu mendapat reaksi keras dan menimbulkan keluh kesah kepada ibu bapa pelajar yang hadir. Mereka berpendapat, sebagai pegawai yang berkhidmat di bawah negeri, Syed Ibrahim sepatutnya berikrar mengekalkan SAN yang ada di bawah kuasa Sultan ini. Sebagai bekas pelajar di situ, beliau sepatutnya berjanji akan memajukan SAN seperti Al-Khairiah ini selagi nyawanya dikandung badan!

Itu baru sumpah pendekar. Bukannya menyerah.

Mungkinlah dari segi prasarananya, sekolah seperti Al-Khairiah ini ketinggalan berbanding sekolah-sekolah yang berada di bawah Kementerian Pelajaran. Tetapi itu bukan isunya.

Pendidikan merupakan kemudahan asas yang mesti diselesaikan dan dipenuhi oleh sesebuah kerajaan, apatah lagi kerajaan Islam. Jadi apa salahnya diberikan peruntukan yang sama SAN mengikut per kapita sekolah menengah kementerian? ‘Kata dua’ bahawa SAN hanya akan menerima peruntukan sewajarnya hanya setelah diserahkan kepada kerajaan persekutuan, itu boleh dianggap bersifat ugutan politik.

Syed Ibrahim juga mengakui bahawa pelajar daripada aliran agama seperti SAN ini berkualiti dan unggul ke hadapan, jadi kenapa mesti berpilih-pilih untuk menyalurkan bantuan?

Satu lagi, semua rakyat termasuk ibu bapa pelajar SAN merupakan pembayar cukai. Duit yang dibelanjakan kerajaan pusat merupakan wang cukai rakyat yang sepatutnya dikembalikan semula dalam bentuk kemudahan. Dengan demikian anak-anak mereka layak menerima bantuan sebagaimana dinikmati pelajar-pelajar sekolah menengah biasa.

Kita cukup faham bahawa Kerajaan Negeri Pahang hanya mampu membiayai SAN seadanya kerana kekurangan wang. Kita faham, Pahang bukannya kaya macam Selangor dan Pulau Pinang dari segi kewangan (walaupun kaya sumber hasil semula jadi. Bantuan kewangan yang disalurkan inipun kebanyakannya dibantu oleh kerajaan pusat.

Tetapi jika 18 SAN pun kerajaan BN Pahang tidak mampu untuk dipertahan dan dimajukan, apa lagi gunanya bertahan sebagai sebuah kerajaan?

Apa yang merisaukan ibu bapa, apabila sesebuah sekolah agama sudah berada di bawah kerajaan pusat, mereka akan pentingkan akademik dan subjek Arab akan terpinggir. Juga, tidak adalagi 'sistem bu'us' yang menghubungkan dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sedangkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka supaya, jika boleh, melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Timur Tengah. Silibus untuk ke negara-negara berkenaan tidak diajar di sekolah-sekolah menengah agama kerajaan.

Syed Ibrahim juga lulusan Al-Khairiah, beliau sepatutnya menggerakkan usaha, melalui kerajaan negeri dan Umno supaya menggesa kerajaan memberikan perhatian dan bantuan kepada SAN sama seperti seperti sekolah menengah yang lain!





2 comments:

  1. Inilah natijahnya yang sebenar ustaz dan ulamak UMNGOK/BN,.. pepat di luar tetapi rencong di dalam. Semoga kita tabah dan sabar dalam mengharungi dugaan ini dan Allah tetap bersama dengan orang2 yang sabar...

    ReplyDelete