Thursday, November 4, 2010

Kuala Lumpur yang bermula 150 tahun dahulu

Kuala Lumpur hari ini tidak berdiri dengan sendiri tetapi mempunyai sejarahnya. Oleh kerana pembangunan dan kepesatan ibu kota itu terlalu pantas, sehingga ramai yang tidak menyedari sejarah dan asal usulnya. Artikel di bawah saya ketemukan dalam blog (http://al-qumairi.blogspot.com/) yang saya anggap menarik dan patut dibaca oleh setiap warga negara Malaysia, terutama orang Melayu. Gunanya ialah untuk menyedari bahawa kota metropolitan itu adalah milik orang Melayu sebenarnya. Selebih daripada itu, boleh dinilai sendiri selepas membacanya.

Artikel tersebut ditulis oleh Adnan Hj. Mohd Nawang sekitar tahun 80-an, berdasarkan pengamatan seorang tokoh yang pernah tinggal lama di Kuala Lumpur. Tokoh tersebut ialah Hj. Abdullah Hukum iaitu ketua masyarakat Kuala Lumpur pada zaman Sultan Abdul Samad.


Apabila Haji Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis yang berkedai di suatu Lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street; ketika itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini ada kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu. Mereka mengutip hasil dagangan yang lalulintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mendahiling.

Jalan keluar masuk Kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Klang untuk sampai ke Kuala Lumpur, kalau airnya dalam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari 1856, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lum¬pur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang Cina juga mula terbabit dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1869-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau seperti Haji Abdul Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdul Samad Panjang, Haji Abdul Samad Kecil, Haji Muhamad Ali, Haji Osman, Haji Zainal Abdidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hashim, Baginda Kaya Haji Arshad dan Datuk Maharaja. Orang Mendahiling pula ialah Sutan Puasa, orang Kerinci ialah Haji Arshad, orang Melaka ialah Datuk Abdullah, orang Pulau Pinang ialah Che Din, orang Acheh ialah Haji Salleh dan seorang dari Linggi serta Che Soh dari Terengganu.

Selain peniaga ada juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat ini ialah padi, sayuran-sayuran, tebu, pisang, sirih dan pokok cepat berbuah. Tanaman kontan yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.

Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum. Ini dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang dan pegawainya juga dari Melaka. Tempat masjid itu ialah Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya), tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada peringkat ini, orang Minangkabau juga mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berbetulan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.

Disebabkan adanya dua masjid bagi masyarakat Melayu Kuala Lumpur, telah menjadi perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan Jumaat. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar, tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat diadakan secara bergilir-gilir.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nanas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti perlantikan ketua pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nanas. Menurut Haji Abdullah Hukum, sempena dengan perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perahg Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjak, (Haji Abdullah Hukum sendiri), satu keramaian selama tujuh hari tujuh malam diadakan menurut adat keramaian zaman dahulu. Menurutnya lagi,

Gelanggang judi pun dibuka setiap hari Jangan disebut sabung dan gelanggang Pencak silat berbagai-bagai rupa dan gaya Serta berpuluh-puluh ekor kerbau tumbang Dan orang-orang yang dilantik itu diarak Ke hadapan Yang Maha Mulia Sultan

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1874, penduduk Melayu yang berjaya mengongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an itu sudah mula tersisih daripada arus pembangunannya pada akhir kurun ke-19. Beberapa alamat perkembangan ini dapat dilihat daripada perpindahan masyarakat Melayu dari pusat bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota; maka berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka; penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang; terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur. Mereka berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Haji Abdullah Hukum telah menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur berkembang dan disebabkan ia terbabit secara langsungdan tidak lansung dengan kemajuan yang beriaku itu, sudah tentu ia dapat merasai akan proses perubahan yang berlaku di sekitarnya. Ia telah melihat betapa fungsi pembesar Melayu menjadi semakin merosot; kekuasaan British semakin teguh dan meluas bukan saja di Kuala Lum¬pur, tetapi di seluruh Tanah Melayu dan melihat juga betapa golongan, imigran seperti ketua orang Cina, iaitu Liu Ngim Kong (yang dikatakan oleh Haji Abdullah Hukum bernama Kaptan Keledek, nama Asi) yang menjadi Kapitan Cina kedua Kuala Lumpur dan Yap Ah Loy, kapitan Cina ketiga serta Loke Yew, Loke Chow Kit dan sebagainya menjadi kaya raya.

Golongan imigran Cina, walaupun pada awalnya mereka hanya menjadi pekerja kepada pembesar Melayu dan ada yang mendapat gelaran Seri Indera Perkasa Wijaya Bakti dari raja Melayu seperti Yap Ah Loy, mereka sebenarnya lebih bergantung kepada kuasa kerajaan kolonial British. Apabila harga bijih melambung dan pembukaan ladang getah meningkat serta pembinaan irifrastruktur berkembang, mereka banyak menerima faedah daripadanya. Oleh itu tidak hairanlah kenapa golongan ini dapat menguasai kekayaan bumi Selangor bermula dari 1870-an lagi.

Satu persepsi Haji Abdullah Hukum yang boleh dianggap sebagai bayangan kepada perkembangan Kuala Lumpur dan nasib yang menimpa bangsa Melayu dapat dilihat daripada catatan pengalamannya apabila beliau menziarahi ketua kampung halaman-nya di Kerinchi, Sumatera. Beliau singgah di suatu tempat, iaitu Tapan. Kebetulannya pada hari itu ia-lah Hari Balai Situ (hari perhimpunan pekan), katanya:

“...Maka saya pun berjalan-jalan melihat pekan itu. Saya dapati beribu-ribu manusia berjual beli semuanya bangsa Melayu daripada berbagai-bagai bangsa. Di situ saya lihat segala perniagaan dan pertukangan dipegang oleh orang Melayu semata-mata. Tukang-tukang besi, tukang ayan, tukang tembaga malah tukang pangkis (tukang cukur) pun Melayu belaka. Serba rupa kain-kain boleh didapati semuanya tenunan orang-orang Melayu. Begitu pula hidup-hidupan seperti kerbau, kambing ayam, itik dijual orang Melayu belaka. Pendeknya pada pendapat saya pekan itu bukan sahaja ahli penjual dan pembeli di situ semuanya Melayu tetapi ialah jua warna dan baunya semua Melayu.”

Begitu persepsi Haji Abdullah Hukum pada Disember 1929, iaitu setelah tinggal di Selangor selama 79 tahun.



No comments:

Post a Comment