Rata-rata dalam sehari dua ini pemerhati dan penulis-penulis politik ini berbicara tentang rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak – yang mereka sebut ‘kabinet pilihan raya’ atau ‘kabinet yang betul-betul pilihan Najib’ – dalam masa terdekat ini.
Pelbagai spekulasi bertiup tentang rombakan tersebut antaranya ialah perihal beberapa orang menteri yang ada akan digantikan, dengan kata lain digugurkan. Memang anggota kabinet yang ada pada hari ini ialah warisan bekas dua Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Jadi Najib sendiri sudah tentu mahukan ‘orang-orangnya’ setelah dua tahun berada di puncak kuasa.
Saya kebetulan menerima SMS daripada seorang sahabat berkaitan perkara tersebut. Menurutnya beliau mendapat maklumat bahawa Datuk Seri Ahmad Shabery Chik, Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub dan Daruk Seri Dr Ng Yen Yen akan digugurkan daripada kabinet.
Jika ini benar, bermakna dua orang menteri dari Pahang yang akan gugur.
Tidak pula disebutkan siapakah penggantinya namun Datuk Seri Azalina Osman Said yang digugurkan daripada kabinet selepas pilihan raya umum (PRU) lalu akan kembali disenaraikan dalam kabinet sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Felda Datuk Ahmad Maslan akan dinaikkan pangkat menjadi menteri.
Jawatan Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan Umno dijangka akan digantikan oleh Datuk Seri Idris Jusoh.
Sementara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein diramal bertukar kementerian.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula yang selama ini dikatakan Ketua Pemuda paling malang kerana tiada jawatan kabinet dikatakan akan diangkat menjadi timbalan menteri, iaitu setaraf dengan timbalannya Datuk Razali Ismail.
Kita faham kenapa Khairy ‘terpaksa’ dibawa masuk ke kabinet Najib, sudah tentu kerana desakan pergerakan itu sendiri dan Najib terpaksa akur kerana dalam PRU akan datang pengundi muda dijangka menjangkau 60% daripada jumlah pengundi. Ini bermakna Najib tidak mahu jumlah yamg besar ini hanya ditangani sambil lewa oleh Pemuda. Khairy tidak disenarai ke kabinet sebelum ini mungkin disebabkan Najib mahu mengambil hati Tun Dr Mahathir yang dilihat tidak senang dengan Ahli parlimen Rembau itu.
Jika benar Hishamuddin bertukar kementerian, itu sudah tentulah disebabkan daripada respons umum terhadap kementerian yang begitu hangat diperkatakan sebelum ini. Antaranya dakwaan bekas Ketua Polis Negara campurtangan orang politik (Umno?) dalam urusan institusi polis dan juga berleluasanya jenayah-jenayah besar di negara ini.
Ahmad Maslan yang jika benar akan dinaikkan pangkat menteri, tidaklah sehebat mana. Akan tetapi peranannya penting bagi mempertahankan peneroka Felda yang selama ini berjaya dibelenggukan. Semua orang tahun bahawa Felda merupakan ‘killer’ Umno yang mampu memberikan kemenangan Umno/BN dalam setiap kali PRU. Oleh itu Ahmad Maslan perlu diupgrade sebagai proksi Najib mempertahankan Felda.
Azalina? Jangkaan umum ialah disebabkan ada kaitannya dengan prestasi lembap Puteri Umno sendiri selepas era Azalina. Semua orang tahu semasa Azalina menjawat Ketua Puteri, Pergerakan tersebut dikatakan mencapai puncak kegemilangannya sehingga digeruni lawan politik. Meskipun Azalina bukan lagi Puteri kerana sudah melebihi 40 tahun, namun ‘kehebatannya’ masih diperlukan, apa lagi Wanita Umno juga dianggap mulai tidak bermaya lagi pada masa ini.
No comments:
Post a Comment