Sunday, November 14, 2010

Adun Kerdau masuk wad lagi

TEMERLOH: Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas mengalami masalah buah pinggang dan jantung sehingga menimbulkan spekulasi pilihan raya kecil (PRK) satu ketika dulu , sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) Temerloh kerana masalah tekanan darah tidak stabil.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di sebalik cakap-cakap penduduk tempatan yang memberitahu bahawa Zaharuddin dirawat di hospital itu sejak dua minggu lepas. Keadaannya dikatakan seperti dulu, kritikal tetapi stabil sehingga tidak membimbangkan.

Adnan berkata, justeru mesyuarat Perhubungan Umno Pahang yang terbaru telah memutuskan supaya Anggota Parlimen Kuala Krau yang juga Ketua bahagian Umno Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said mengambil alih tugas selaku penyelaras DUN Kerdau. Turut membantu ialah Penasihat Agama kepada Menteri Besar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Mohamad.

Zaharuddin, 63, sebelum ini pernah menerima rawatan selama hampir tiga bulan di Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HSAH Mei lepas.

Sebelum itu, beliau yang merupakan anggota skuad "James Bond Malaysia" , telah menjalani pembedahan tetapi akibat penyakit-penyakit lain yang dihadapinya seperti serangan jantung dan kencing manis, membuatkan keadaannya tambah teruk.

Beliau sebelum ini dikatakan telah banyak kali keluar masuk hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak banyak dapat menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Pada Hari Raya Eidul Fitri lalu Zaharuddin telah berkahwin dengan janda berusia 30 ahun lebih muda daripadanya, Rozlifah Ahmad, 33, dari Felda Jengka 23.

Pada PRU 12 2008, Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 8,451 undi berbanding Hasanuddin (6,789).

N. 28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana YDP Kawasannya ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.




No comments:

Post a Comment