Tuesday, November 23, 2010

Bapak muncul nak lawan Anak

Tiba-tiba Sekretariat Felda PAS Pahang dihujani pelbagai pertanyaan dan dihubungi tentang penubuhan Bapak (Biro Aduan Peneroka Kebangsaan), iaitu saluran disediakan Umno kepada warga Felda untuk menyuarakan aduan dan pandangan berkaitan permasalahan dihadapi.

Bapak diumumkan penubuhannya oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam keadaan yang disifatkan amat tergesa-gesa dan terpaksa.

Bagi Ahmad Maslan, Bapak adalah pelengkap kepada saluran aduan sedia ada untuk mengemukakan aduan dan permohonan tertentu yang diperlukan warga Felda yang akan diselesaikan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu waktu bekerja.

Beliau berkata, Bapak adalah inisiatif Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail yang turut menanggung segala perbelanjaan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Penubuhan ini adalah relevan untuk warga peneroka dalam menangani masalah lain seperti pendidikan dan kebajikan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikannya semalam.

Kita cuma agak terperanjat kenapa setelah 30 tahun di mana lebih 200,000 peneroka di 317 tanah rancangan Felda dibelit dan dihempab pelbagai masalah dan isu baru sekarang Umno sedar? Tidakkah mereka perasan bahawa peneroka-peneroka inilah yang selama ini memenangkan Umno/BN pada setiap kali pilihan raya umum (PRU)?

Jawapnya, mereka sedar. Malah amat menyedarinya namun sengaja didiamkan kerana tidak ada sebarang cabaran. Hembap dan belitlah dengan sebesar mana masalah di kepala peneroka Felda, selamanya Umno tidak akan terusik atau rugi apa-apa. Kerana majoriti peneroka adalah teman setia Umno.

Sehinggalah apabila akhir-akhir ini para peneroka bangkit memperjuangkan keadilan dan hak mereka, termasuk di mahkamah. Dan sebahagian yang menyaman Felda itu pula merupakan penyokong tegar Umno!

Siapakah yang memberi semangat dan harapan supaya nasib peneroka boleh dibela? Tidak lain dan tidak bukan perjuangan yang digerakkan oleh Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah yang juga Exco PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Beliaulah selama ini bergegas ke hulu ke hilir ke merata ceruk Felda yang ada kalanya ditanggap dan dan pasung oleh polis, demi memperjuangkan nasib peneroka. Selama 15 tahun beliau merayau dan merayap menangani, menghalusi dan menyantuni pelbagai masalah peneroka yang kebanyakannya sudah terbengkalai sejak sekian lama.

Dari kes pecah belah keluarga akibat tanah rancangan tidak boleh difaraid dan pusaka kerana Akta GSA, isu kadar perahan gred (KPG) sawit, wang tabung tanam semula (TTS) yang belum diselesaikan atau diputarbelitkan, isu ladang diusahakan Felda Techno Plant yang penuh dengan babi hutan, penyelewengan baja hinggalah kepada isu generasi kedua yang tidak mendapat sebarang hak atau pengiktirafan.

Semenjak berakar umbinya kes ini, tidak pernah muncul pun atau kedengaran ada pembelaan terhadap peneroka oleh muka-muka menteri seperti Ahmad Maslan. Yang kedengaran memperjuangkan nasib peneroka ialah NGO Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Anak.

Sementara itu saya turut merasa terpanggil mengapa GWGF pimpinanTan Sri Rozali iaitu CEO Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) yang diberi peranan besar. Tentulah ‘ada udang di sebalik mi’.

Setelah bertemu dengan seorang sahabat yang tahu benar tentang isu-isu dalaman Felda, rupa-rupanya Syabas pada masa ini menghadapi masalah kewangan yang teruk. Rupa-rupanya Syabas pada masa ini tersangkut dengan bon (wang jaminan) antara Rm8 ke RM9 bilion dengan CIMB, Hong Leong Bank dan sebuah bank lagi yang khabarnya matang tidak lama lagi.

Sedangkan Syabas tidak boleh menaikkan harga air di Selangor. Jadi inilah yang menyebabkan mereka dalam keadaan yang sukar yang mungkin kehilangan syarikat.

Justeru, apa kaitannya tauke Syabas ini, melalui GWGF tiba-tiba mahu menabur bakti kepada warga Felda?

“Ada kemungkinan mereka kini sedang mengintai peluang-peluang yang ada dalam Felda, setelah perniagaan berasaskan perkhidmatan mereka kini hanya menunggu masa untuk gulung tikar,” jelas sahabat saya tadi!





No comments:

Post a Comment