Friday, November 5, 2010

Ketua Penerangan Pemuda Umno Lipis Meninggal Dunia Ketika Berkempen Di Galas

KUALA LIPIS: Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Lipis Norshamsul Azman Mokhtar, 36, yang mengikuti Pemuda Pahang berkempen di Galas, meninggal dunia di Hospital Gua Musang petang semalam.

Norshamsul Azman meninggal dunia pada pukul 4 petang selepas mengalami muntah darah dan doktor mengesahkan paru-parunya dijangkiti kuman, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pahang Abu Jimi Samat ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata Norsyamsul Azman dari Kampung Chegar Perah di sini ke Galas bersama-sama 30 anggota Pemuda Pahang bagi membantu kempen calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

"Kali terakhir saya berjumpa allahyarham ialah sehari sebelum hari pengundian DUN Galas ketika kami keluar beramai-ramai untuk makan di Kesedar Inn, Gua Musang.

"Kami menjaga peti undi berbeza dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan urusan berkempen tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak keluar pada malam itu walaupun kawasan yang beliau jaga agak jauh dari Kesedar Inn," katanya yang telah 17 tahun mengenali arwah.

Beliau berkata jenazah Norshamsul Azman selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu 8 Jalan Kuantan-Gambang dekat Kuantan pagi ini.

- BERNAMA

Selamatkan Pahang turut mengucapkan takziah kepada Allahyarham dan berharap keluarganya bersabar dengan ujian kehilangan ini...


No comments:

Post a Comment