Wednesday, November 3, 2010

Lawyer PKR umum sertai PAS

Selepas melepaskan jawatan dalam kepimpinan PKR bagi Parlimen Raub bermula 2 Jun lalu, akhirnya hari ini bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Raub Bandar, Mohd Harris Abdullah mengumumkan penyertaannya dalam PAS dan sudah pun menyerahkan borang keahlian kepada parti itu.

Mengikut berita yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini, bekas Naib Ketua PKR Cabang Raub itu mengumumkan keputusannya itu selepas dimaklumkan permohonan keahliannya disokong Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Dr Nilam Manaf.

“Biarpun banyak parti termasuk dari Pakatan Rakyat (PR) ataupun Barisan Nasional (BN) yang cuba memujuk saya menyertai mereka, saya memilih PAS berdasarkan agenda agama Islam dan kepimpinan ulama,” katanya ketika kepada pemberita Skuad Cakna Raub.

Mohd Harris berkata, semasa mengumumkan pelepasan jawatan utama PKR peringkat Cabang dan Ranting Raub, beliau sudah nampak senario ahli PKR yang asyik mengejar pemimpin tanpa mempedulikan matlamat sebenar penubuhan parti itu.

Katanya, semasa pemilihan PKR berlangsung baru-baru ini, jelas tergambar situasi PKR yang tidak ubah seperti parti komponen utama BN, menyebabkan beliau menilai dan memilih untuk menyertai PAS.

“Sejak saya melepaskan jawatan dalam kepimpinan PKR bagi Parlimen Raub pada 2 Jun lalu, baru hari ini saya mengambil keputusan menghantar borang permohonan untuk menjadi ahli PAS.

“Secara tegasnya, saya tidak akan menjadi sebahagian daripada BN walau apa keadaan sekali pun yang berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan penyertaan Harris ke dalam PAS dan berharap profesionalisme yang ada pada tokoh tersebut dapat dimanfaatkan kerana ia merupakan aset parti.

Tahniah tersebut disampaikan melalui Setiausaha politiknya Dr Shamsuri, dan disampaikan pula kepada AJK PAS Pusat Mazlan Aliman yang berkebetulan berada di Pahang setelah baru pulang dari kempen di PRK Galas, Kelantan lalu menghubungi Dr Nilam.


No comments:

Post a Comment