Friday, November 5, 2010

Bukan 2 – 0, BN kalah 5 – 8

Akhbar lidah rasmi Umno hari ini bergendang bersorak sakan meraikan kemenangan BN di dua pilihan raya kecil (PRK) semalam iaitu Galas dan Batu Sapi lalu dengan segera membesarkan tulisan 2 - 0. Seolah-olah Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mengecap kemenangan PRK sebelum ini.

Jika dinisbahkan hanya dua PRK itu, memang BN menang 2 – 0. Tetapi jangan lupa ada 13 PRK selepas PRU 2008 iaitu Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Batang Ai, Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Sibu, Galas dan Batu Sapi.

Daripada 13 PRK tersebut, BN hanya menang lima iaitu Batang Ai, Bagan Pinang, Hulu Selangor serta dua yang terbaru semalam iaitu Galas dan Batu Sapi. Sementara 8 lagi dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Untuk rekod, kemenangan BN di lima tempat itu semuanya di kawasan pinggir bandar, ulu dan jauh daripada maklumat terkini. Ertinya, kemenangan BN adalah masih dalam linkungan seperti keputusan PRU 2008.

Begitupun, sebutlah apa sahaja, keputusannya tetap telah berlaku dan pengundi telah membuat keputusan. Sebagai pendokong demokrasi kita tetap menyanjung dan menghormati keputusan yang dibuat.

Lebih lanjut, saya mendapati dua perkara menarik berdasarkan pengamatan saya melalui tulisan-tulisan pro dan kontra mengenai kemenangan BN di dua PRK ini.

Pertama, sogokan duit amat menjadi-jadi bagi membeli undi dan sudah tentu melibatkan BN kerana parti itu yang memiliki banyak wang. Duit dihulurkan dengan pelbagai cara dalam keadaan terang atau agak tersembunyi. Rata-rata mengatakan undi sudah boleh dibeli dengan wang pada ketika ini.

Apa yang menghairan lagi mendukacitakan, SPR nampak begitu tegas kononnya untuk menjayakan kelangsungan pilihan raya namun gagal segagal-gagalnya dalam membendung gejala rasuah ini. Dan ini pula bukan pertama kali tetapi telah berulang-ulang pada setiap PRK. Mungkin pihak mereka berhujah apa buktinya? Sebenarnya buktinya tidak susah jika mahu menangkap pemberi wang kerana ada wang yang disogok terang-terangan. Demikian menurut sebahagian blogger.

Itu belum lagi dikira janji ‘projek seger’ atau peruntukan yang terang-terang mencabul demokrasi, seperti digariskan oleh SPR.

Pokoknya, SPR kadang-kadang dilihat bertindak seperti sebuah komponen BN di mana begitu cepat untuk bertindak terhadap PAS jika tersiar sebarang dakwaan di media arus perdana. Namun begitu liat untuk bertindak terhadap Umno jika didakwa mengagihkan wang untuk memancing undi atau menaburkan janji projek. Begitu juga dengan peraturan-peraturan yang dicipta oleh SPR tetapi boleh dilanggar oleh parti pemerintah. Apa yang kita khuatirkan nanti ialah tanggapan mesyarakat sendiri apabila pada ketika itu mereka melihat SPR hanyalah sebagai ‘pengadil yang berat sebelah’. Bagaimana untuk menangani imej ini?

Umno/BN mungkin boleh bersorak sorai dengan kemenangan tetapi apakah nilai kemenangan yang dibeli dan dirasuah? Apakah ini natijah demokrasi? Apakah mereka seronok dengan sebuah kemenangan yang tercipta di atas kecacatan demokrasi?

Perkara kedua yang saya dapat melihat melalui analisis para blogger ialah PRU 13 semakin hampir. Ini antara lain menurut Siasahdaily, Blog-blog dan pemerhati pro-BN mendakwa BN telah memenangi semula undi bukan Melayu di Galas, sesuatu yang telah diusahakan sejak perubahan besar sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Bagi mereka jika undi Cina sudah berubah di Galas, maka simboloknya ialah undi Cina juga berubah di seluruh negara.

Pada PRU lepas, sejumlah 60% Cina telah memberikan sokongan kepada PR sementara lebih 70% India berbuat demikian. Manakala bagi orang Melayu pula, kecuali Kelantan, hanya 2.5% sahaja yang meninggalkan BN. Tsunami politik itu telah menyebabkan 4 negeri lagi selepas Kelantan, jatuh ke tangan PR. Sementara buat pertama kalinya, BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Kita percaya pimpinan Umno/BN tidak selesa dengan kedudukan ini, apa lagi Najib sebagai PM yang mewarisi selepas PRU tersebut mahu menggilap imejnya yang tersendiri. Sejak itu, usaha Umno/BN ialah cuba mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada parti itu. Maka jika dua PRK semalam dijadikan ukuran, Najib (yang kini menderita demam cengkering) mungkin sudah boleh mengorak senyuman dan mungkin sedang berkira-kira untuk mengadakan PRU pada bulan Jun tahun hadapan!

Mesejnya, PR terutamanya PAS tidak seharusnya terus-terusan dukalara dan musykil dengan kekalahan di Galas, sebaliknya mestilah bangkit untuk bekerja keras bagi memenangkan aspirasi Islam pada PRU depan.

Masanya sudah tidak lama lagi, mungkin pada Jun 2011!





2 comments:

  1. kalah ...bangkit semula...dan teruskan dakwah!

    ReplyDelete
  2. Saya setuju....
    ... dan begitu jugalah amanat Tuan Guru.
    Dulu kita pun kalah di PRK Pengkalan Pasir... tapi akhirnya berjaya ditebus dlm PRU kemudian...
    ... mungkin Tuhan tidak akan memberi kita menang jika kita belum layak menang... itu saja.

    ReplyDelete