Friday, November 12, 2010

Blogger PKR hantar memorandum minta pemilihan lebih telus

KUANTAN: Blogger Pahang Daily, Shukri Mohd Ramli akan menghantar satu memorandum kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan membantah pemilihan PKR sehingga prosesnya lebih bersih dan telus.

Memorandum yang dipersetujui kira-kira 100 blogger pro PKR itu akan dihantar secepat mungkin bagi mendapatkan persetujuan semua pihak berhubung proses pemilihan parti berkenaan.

Shukri yang mendakwa memperjuangkan PKR sejak 11 tahun lalu melalui tulisannya di laman web Pahang Daily Online kecewa kerana masalah dalaman parti menjejaskan pemilihan itu.

“Sebagai pemerhati bebas dalam pilihan raya itu, ada pemimpin dalam parti itu yang sudah terbabit dalam politik wang, lobi melobi dan bergaduh untuk merebut jawatan penting,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar berkenaan perkara itu di sini, semalam.

Beliau berkata, pemilihan itu mesti ditangguhkan supaya tidak berhadapan dengan masalah besar membabitkan dua orang kuat parti itu iaitu Anwar dan Naib Presiden parti itu, Azmin Ali.

“Sememangnya PKR wajar menangguhkan pemilihan dalam parti itu bagi mengelakkan tsunami yang boleh mencemarkan parti itu

“Saya lihat apa yang dituduh kepada Barisan Nasional sebelum ini sudah berlaku dalam Pemilihan 2010 PKR dan saya berpendapat proses itu juga gagal,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya Anwar lebih neutral apabila berlaku krisis dan tidak memihak kepada Azmin semata-mata.

Sebelum ini, katanya, Datuk Zaid Ibrahim sudah membuat teguran mengenai isu pemilihan itu sebelum pemilihan.

“Anwar tidak boleh menuduh Zaid dihantar oleh UMNO untuk menyiasat parti,” katanya.

Katanya, dalam tempoh bersama parti itu, Shukri mendakwa dia berjuang atas dasar percaya kepada pemimpin namun keadaan pemimpinnya yang masing-masing mempunyai impian memegang jawatan.

“Itu adalah kesilapan Anwar sendiri yang menguar-uarkan mahu menakluki Putrajaya menyebabkan masing-masing bermimpi mahu memegang jawatan dalam parti ini,” katanya.

Bercakap mengenai pendiriannya, beliau masih menerima pandangan rakan-rakan lain dalam parti dan akan membuat keputusan sama ada mahu terus bersama parti itu atau tidak mahu terikat dalam parti.

PKR kini dikatakan mengalami masalah dalaman parti selepas Zaid meminta Anwar dan Azmin berundur kerana didakwa menjadi punca masalah dalam parti.

~ Sinar Harian



No comments:

Post a Comment