Tuesday, November 9, 2010

Baru sekarang Felda ajak peneroka berunding?

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengurus Felda Zon Bera/Mendi, Azemim Mamat, hari ini agak menarik dan boleh menarik perhatian peneroka.

Katanya, peneroka yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan Felda atau hal-hal berkaitan lain diminta melaporkannya kepada Felda dan bukannya pihak lain. Sebab, katanya, sekiranya peneroka mengadu kepada pihak lain, lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang arif, ia hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah.

Menurutnya, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan sekiranya ia dilakukan dengan betul iaitu dibawa ke meja perundingan.

Kenyataannya itu betul, memang betul. Akan tetapi sejauh manakah ia dipraktikkan? Kerana selama ini peneroka tidak dilayan dengan baik sehingga terpaksa membawa kes-kes tertangguh ke mahkamah.

“Saya kesal dengan sikap segelintir peneroka yang termakan hasutan mereka (orang tengah) dengan membawa kes ke mahkamah sedangkan masalah yang dihadapi itu boleh dibawa berbincang tanpa membabitkan undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata, setiap apa yang dilaksanakan kerajaan dan Felda adalah mengikut garis ditetapkan dan ia tidak boleh dilakukan sesuka hati.

Masalahnya menteri yang menjaga Felda tidak suka peneroka mengadu untuk memperoleh haknya. Contohnya, Datuk Ahmad Maslan, timbalan menteri yang menjaga Felda sendiri, lebih suka menghentam peneroka daripada mengajak berbincang.

“Felda bukan tak mau bayar wang tanam semula kepada peneroka; tapi tak mau wang itu disalahguna. Peneroka beli motor, repair rumah. Nanti kebun jadi hutan. Saya tengok sendiri kebun peneroka penuh babi hutan, penuh ular sawa, banyak tikus. ada kumbang merosakkan kebun sekitar.'

Inilah antara kata-kata Datuk Ahmad Maslan,; sebab kenapa Felda enggan membayar wang tanam semula RM17,000 kepada peneroka yang mengusahakan kebun mereka secara persendirian.

Kenyataan menghina peneroka itu amat menyinggung perasaan para peneroka seolah-olah mereka hanya disamatarafkan seperti kuli estet. Sedangkan mereka bekerja di tanah milik mereka.

Jadi, kenapa tidak bawa peneroka berbincang dulu sebelum menahan wang TTS yang juga milik peneroka yang dipotong setiap bulan selama 15 tahun.

Begitu juga dengan isu KPG. Kenapa tidak pernah dibawa peneoka berbincang sehingga tida pernah diberi melebihi 19%. Kenapa selepas mahkamah memutuskan Felda bersalah, barulah pegawai Felda terhegeh-hegeh mahu merayu peneroka?

Tolonglah, peneroka bukannya warganegara kelas dua. Malah penerokalah yang menyelamatkan Umno/BN selama ini daripada tertiarap dan terlingkup!



No comments:

Post a Comment