Tuesday, November 16, 2010

Kerajaan didesak kaji semula agensi pembangunan tanah

KENYATAAN MEDIA

Kerajaan digesa untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Bebas mengkaji semula peranan agensi pembangunan tanah dalam negara ini setelah ianya wujud begitu lama. Sebagai contoh, Felda telah ditubuhkan pada tahun 1956 manakala Felcra tahun 1966. Manakala Risda, Kesedar, Ketengah, Kejora dan lain-lain juga telah wujud lebih 25 tahun lalu.

Agensi yang menempatkan hampir 100 peratus orang melayu dan mendapatkan peruntukan begitu besar;dilihat telah tersasar dari matlamat asal untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Pengkorporatan Felda pada tahun 1990 dengan kewujudan Felda Plantation seluas 364 ribu hektar telah mengundang kontroversi apabila keuntungannya tidak diisytiharkan dan menjadi tanda tanya. Adalah dipercayai aset Felda Plantation yang berjumlah berbilion ringgit tidak banyak memberi faedah kepada warga peneroka; sebaliknya membuka ruang para kroni pemimpin tertentu membuat kekayaan berlipat kali ganda melalui pelbagai projek yang ditawarkan.

Techno Plant Sdn Bhd, anak syarikat Felda yang bertanggungjawab mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan kebun peneroka di seluruh negara; wujud semata-mata memenuhi kehendak segelintir bekas pengarah-pengarah Felda dan pemimpin tertentu yang mengambil untung 'atas angin' daripada tanah peneroka. Hubungan intim antara pengurusan Techno Plant dengan kontraktor telah digunakan sepenuhnya merebut segala peluang yang ada termasuk kerja-kerja tanam semula dengan kos lebih mahal daripada syarikat perladangan swasta seperti IOI dan Sime Darby.

Di kala para kroni kaya raya; tuan punya kebun iaitu para peneroka menderita dengan bebanan hutang piutang, deretan potongan tidak munasabah, perjanjian yang sangat berat sebelah dan cengkaman Akta GSA 1960 yang zalim.

Tatkala 112,635 peneroka felda dibelenggu masalah di sana sini; 92,000 peserta Felcra lebih teruk lagi. Walaupun telah wujud sejak tahun 1966 dan di korporatkan pada tahun 1997; kehidupan mereka lebih sengsara. Pendapatan bulanan yang sangat kecil, dividen yang terlalu rendah serta kos pembangunan tanam semula yang melampau menjadi isu paling hangat ketika ini. Janji asal ketika mula memajukan tanah peserta sangat menarik. Realitinya indah khabar dari rupa. Bila ada peserta yang sedar dan mahu mengambil semula tanah mereka; ugutan hutang piutang untuk menakutkan peserta dilakukan. Jumlahnya sangat menakutkan...ada yang sampai RM70,000!

Berpuluh penyelewengan dikumpul dan dikenalpasti melibatkan ratusan juta ringgit bukan fitnah untuk memburukkan pengurusan agensi-agensi terlibat. Pendedahan yang dilakukan bukan bertujuan mengaibkan sesiapa. Inilah caranya membantu kerajaan mengenal pasti segala kepincangan, kelemahan, salah guna kuasa dan rasuah untuk tujuan pencegahan. Laporan polis, SPRM, Suhakam dan memorandum yang dibuat untuk mendesak siasatan dibuat dengan hasrat untuk menyelamatkan institusi orang melayu yang bermasalah. Mungkin dakwaan ini sangat keras. Tapi pengalaman turun padang lebih 15 tahun; wajah hodoh sesetengah peneraju agensi pembangunan tanah ini tidak boleh diselindung lagi!

Sedihnya... mereka seagama dan sebangsa dengan kita; tergamak mengkhianati kepercayaan rakyat marhaen.

Serius sangatkah hingga perlu ditubuhkan Suruhanjaya Bebas?
Jawabannya, Ya dan sangat mendesak. Itu pun jika tidak mahu lebih banyak wang rakyat lesap dan lenyap!
Apa buktinya?
Sebahagiannya telah didedahkan dan akan terus dibongkar.

Bagi memenuhi kehendak rakyat agar ada platform bagi memperjuangkan hak rakyat; maka ditubuhkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK). Insyaallah, Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan(BAPAK) akan dilancar secara resmi pada 26 disember ini di Ipoh, Perak. Ketika ini, Alumni Bekas Kakitangan Felda juga telah ditubuhkan yang menggabungkan bekas kakitangan Felda seluruh negara.Sekretariat Bertindak Isu Felda(TINDAK) yang dipengerusikan YB Salahudin Ayub sedang menjelajah ke seluruh negara bertemu warga Felda. Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah pada 24 Oktober lalu di Sandakan yang di hadiri hampir 3000 penduduk Sabah pelbagai suku kaum dan agama telah menggariskan resolusi menangani kes rampasan tanah rakyat yang semakin bermaharajalela.

Semua ini adalah tanda komitmen bersepadu membantu rakyat jelata. Majlis 'Makan Malam Rakyat Marhaen' bakal menghimpunkan 5000 rakyat terdiri daripada para peneroka, peserta felcra,penduduk luarbandar dan wakil Sabah/Sarawak pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur adalah lambang kerja keras seluruh jentera Pakatan Rakyat dan Ngo bergerak aktif menangani isu-isu marhaen. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah mengesahkan hadir bagi mendokong komitmen bersama. Sejumlah wang yang banyak sangat diperlukan untuk menampung program bertali arus melalui majlis makan malam ini. Maklumat lanjut boleh hubungan pengarah program- Hj Zulkifli Muhammad Omar, 0192818816 atau Sdr Yohanis 0133039913.


Mazlan bin Aliman
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan(ANAK)
0137130103

No comments:

Post a Comment