Sebuah NGO Islam menyarankan agar Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamed agar menjalinkan kerjasama politik baharu bagi menggantikan
Pakatan Harapan (PH) yang kini didakwa didominasi DAP.
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dalam kenyataannya
mendakwa, pemerintahan mengecewakan kerajaan PH yang didominasi parti tamak
haloba, DAP sedang membawa Malaysia menjurus ke arah sebuah negara rasis.
Amir (ketua pimpinan) Isma Ustaz Abdullah Zaik Abd
Rahman berkata, lebih buruk lagi apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dilihat hampir hilang kawalan sepenuhnya ke atas pemerintahan dan
anggota kabinet.
Menurutnya, perubahan dasar yang drastik sedang
dilakukan untuk kepentingan kaum tertentu, sekali gus menonjolkan semangat
anti-Melayu dan Islam membuak-buak, seolah-olah melepas geram yang lama
tersimpan.
“Menteri yang paling berkuasa pada masa ini ialah
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Sedang menteri-menteri Melayu yang lain dalam
keadaan kebingungan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
“Saya fikir keadaan ini sangat berbahaya kepada negara
dalam semua sudut, sama ada politik, ekonomi, perpaduan, keselamatan dan
sebagainya,” katanya kepada laman rasmi kumpulan terbabit, Ismaweb.net, sebagaimana
dipetik hari ini.
Justeru, beliau menggesa Dr Mahathir supaya memandang
serius perkara ini, termasuk menyarankan supaya perdana menteri membubarkan
kerajaan sedia ada serta membentuk kerjasama politik baharu yang lebih kuat dan
stabil.
Beliau berkata, saranan itu bagi mengelakkan negara
terus terjerumus kepada kemerosotan dan huru-hara, sehingga menggugat perpaduan
kaum dan kestabilan ekonomi.
“Atau pun pilihan kedua, beliau boleh menghadap Yang
di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya yang lebih
awal. Beliau perlu melakukan perkara ini segera sementara sihat dan masih
memegang kuasa.
“Beliau harus fikir bagaimana senario politik dan masa depan
negara jika beliau meninggalkan pemerintahan dalam situasi yang tidak terkawal
seperti yang sedang dialami pada hari ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment