Monday, January 28, 2019

Analisis keputusan PRK Cameron Highlands menurut IDE

Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands yang berakhir semalam telah menunjukkan hasil di mana Pakatan Harapan (PH) kalah kepada calon Barisan Nasional dengan majoriti besar.

Peratusan turun mengundi pada PRK ke-6 sejak PRU 15 itu menyaksikan peratusan turun mengundi adalah 68.79% iaitu seramai 22,019 pengundi. Berbanding jumlah layak mengundi dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK ini adalah seramai 32,008 pengundi yang terbahagi antara DUN Tanah Rata dan DUN Jelai. 9,989 pengundi, 31.2% tidak mengundi.


Menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE), peratusan undi bagi setiap parti adalah seperti berikut (Jumlah Undi Peratusan):
Keluar Mengundi 22,019 68.79 %
Barisan Nasional 12,038 54.67%
Pakatan Harapan 8,800 39.96%
Bebas (Cangkul) 276 1.25%
Bebas (Buku) 314 1.42%
Rosak 568 2.57%
Tidak Dikembalikan 23 kertas undi
Tidak mengundi 9989 pengundi 31.2%

Perbandingan keputusan PRK dan PRU 14 berdasarkan sentimen gabungan parti antara BN dan PAS :
a. Undi BN PRU 14 (10,307 undi ) + PAS PRU 14 (3,587 undi) = 13,894 undi.
Perbezaan dengan undi PRK, BN susut 1846 undi iaitu 13.29%
b. Undi PH PRU 14 (9,710 undi) – PRK (8,800 undi) = 910 undi. PH susut 9.37% undi.

Faktor Kemenangan Barisan Nasional:
(a)        Faktor utama kemenangan Barisan Nasional adalah faktor calon. Calon yang dihantar oleh BN mewakili demografi pengundian iaitu 55% adalah kawasan Melayu dan Orang Asli (34% Melayu + 21% (Orang Asli dan lain-lain).

(b) BN menggunakan strategi “Calon BN” dari orang Asli dan jika menang maka beliau adalah wakil pertama orang asli di Dewan Rakyat. Beliau tidak dikaitkan sebagai calon dari UMNO.

(c) Pendekatan pragmatik dengan menukar tradisi kerusi India kepada orang Asli membuahkan hasil dalam percaturan PRK kali ini. Ini memberikan kesan khusus kepada psikologi pengundi Melayu khususnya.

(d) Kekuatan utama BN dalam P078 yang menjadi kerusi tradisi kemenangan BN adalah DUN Jelai yang menyumbang kemenangan besar buat BN.

BN berjaya mengekal ‘bank vote’ BN dari PRU 14 di DUN Jelai yang terdiri daripada:
i. Komposisi Melayu 64% dan Orang Asli 34% (Cina dan India 2%)
ii. 7 daerah mengundi komposisi Melayu 60% ke atas.
iii. 5 daerah mengundi orang Asli.
(e) Undi-undi di kawasan Daerah Mengundi (DM) 60% lebih Melayu masih dimenangi oleh Barisan Nasional.

(f) Pertambahan undi BN daripada 10,307 kepada 12,038 ( + 1371 undi) adalah disumbangkan oleh undi sebahagian ahli PAS di DUN Jelai. Contoh:

(g) Isu anti DAP dan isu Melayu Islam amat menghantui pengundi Melayu. Strategi BN dari awal lagi adalah memperlihatkan kerjasama antara PAS dan BN bagi mempertahankan isu Melayu dan Islam.

 (h) Strategi BN menumpukan kepada isu dan serangan calon PH. Pergerakan calon BN tidak terserlah semua kawasan dan hanya fokus kepada kawasan Melayu sahaja. Malah dalam kalangan wartawan ada yang mengeluh sukar untuk mencari calon BN hingga wujud #mencariRamli.

(i)                  Pertembungan dua kerajaan juga merupakan faktor utama kerana BN mendapat kelebihan dari segi logistik dan sentimen lokal sebagai pemerintah kerajaan negeri khususnya di DUN Jelai. Antara isu yang mengikat dalam persepsi masyarakat seperti isu tanah yang dalam bidang kuasa negeri.

(j) Undi Orang Asli yang mewakili 21% demografi pengundi masih kepada BN. Kedudukan BN sebagai kerajaan negeri dan MB Pahang sebagai ADUN Jelai memberi kesan kepada pengundian Orang Asli. BN secara tradisi mempunyai hubungan rapat dengan jaringan orang asli yang merupakan ahli UMNO lokal yang berpengaruh di kawasan berkenaan.

(k) BN mengambil strategi “micro-targeting” kepada ahli BN dan pengundi tegar BN khususnya di DUN Jelai. Strategi BN untuk kempen (poster/bendera dlln) lebih tertumpu kepada kawasan DM Melayu sejak awal kempen 14 hari. Kempen ‘marking’ rumah ke rumah bersama kepimpinan PAS Pantai Timur amat berkesan untuk meyakinkan pengundi mereka menyokong Barisan Nasional. BN dan PAS mempunyai kepakaran dalam sistem culaan bagi mengenal pasti pengundi. Sistem kempen DAP lebih kepada isu dan sentimen.

(l) BN mengambil ‘leverage’ atau keuntungan di atas ke atas beberapa isu:
i. Isu tanah FELDA dan harga komoditi
ii. Isu integriti
iii. Isu dan kesilapan calon Pakatan Harapan dalam respon kepada isu media
dan media sosial seperti:
i. ‘kuih orang asli’ – awal kempen. [Minggu pertama]
ii. Isu dan polemik pemberian wang.
iii. Respon Senator Bob Manolan dalam pertemuan Tok Batin.
iv. Perbalahan YB Tengku Puji (DAP) dalam menangani isu kenderaan rasmi.
v. Pemakaian baju lambang parti di kawasan mengundi oleh calon.

Analisis Undi Orang Asli:
(a) Undi orang Asli secara majoritinya masih berpihak kepada BN, namun pada kempen kali ini Pakatan Harapan mampu untuk masuk dan berinteraksi dengan orang asli lebih baik berbanding dengan PRU 14. Pada PRU 14 undi orang asli yang diterima bagi kawasan pos orang asli (DM majoriti orang asli melebihi 60%) adalah 479 undi sahaja. Pada PRU kali ini peningkatan kepada 997 undi (peningkatan 518 undi). BN merosot 170 undi. Peningkatan terutama di Pos Sinderut, Pos Betau dan Pos Lenjang.

(b) Beberapa Pos Orang Asli dilihat tinggi peratusan keluar mengundi berbanding PRU14 seperti Pos Mensun dan di kebanyakan Pos Orang Asli di DUN Jelai. Merekaberatur untuk mengundi sejak jam 6:30 pagi.

Kedudukan Pakatan Harapan:
a. P078 adalah suatu pertembungan ketara antara dua demografi komposisi kaum yang besar jurangnya antara DUN Tanah Rata dan DUN Jelai. Dalam komposisi seperti ini maka isu calon memainkan peranan utama dalam mempengaruhi pengundian.

b. PH atau DAP dalam PRK ini berjaya mengekalkan pola peratusan pengundian yang sama dengan PRU 14 khususnya ‘vote-bank’ mereka di DUN Tanah Rata.

c. DAP dengan mempertaruhkan bekas calon PRU 14, masih belum dapat mempengaruhi undi Melayu khususnya di DUN Jelai.

d. Peratusan turun mengundi DUN Tanah Rata didapati merosot di bawah 70% (wujud DM di bawah 60% turun mengundi) khususnya di kawasan DM majoriti kaum Cina dan campuran. Terdapat beberapa senario yang menyumbang antaranya:
i. Cuti Tahun Baru Cina yang terlalu rapat dengan tarikh pengundian menyebabkan sekitar 20% pengundi tinggal di luar Cameron Highlands tidak balik mengundi.

ii. Isu pertanian dan pekerja asing di Cameron Highlands mempengaruhi undi yang terlibat dalam sektor perladangan. Ada yang memilih tidak turun mengundi sebagai tanda protes.

iii. Persepsi ‘feel good’ bahawa jika turun mengundi tidak mengubah kerajaan atau komposisi Parlimen. Mereka tidak merasa bahawa PRK ini boleh mengubah keputusan negeri mahupun Parlimen. Ramai yang masih memberi peluang kepada kerajaan semasa.

iv. Wujud juga senario di DUN Tanah Rata tidak turun mengundi kerana sibuk bekerja dan melihat peluang meraih pendapatan dengan kehadiran ‘pelancong pilihan raya’.

v. Wujud faktor tidak turun mengundi kalangan masyarakat Cina kerana anak-anak tidak pulang membawa orang tua pergi mengundi.

e. Peningkatan undi kepada Pakatan Harapan (DAP) di beberapa Daerah Mengundi antaranya:
i. 163 undi berbanding PRU 14, 126 undi (+37 undi)
ii. 127 undi di Felda Sungai Koyan 1 berbanding 106 undi PRU 14.

f. Peningkatan undi orang Asli di beberapa Daerah Mengundi iaitu:
i. Pos Sinderut - 385 (268)
ii. Pos Lenjang – 126 (47)
iii. Pos Titum – 8 (65)

Pada PRK kali ini PH mampu untuk masuk berkempen di kawasan orang Asli yang mana sukar dilakukan pada PRU 14.

g. Sentimen orang Melayu khususnya di luar bandar seperti DUN Jelai masih sukar menerima DAP sebagai calon. Sentimen dan isu perkauman yang dibangkitkan amat menjadi keprihatinan khususnya Melayu luar bandar.

h. PH masih belum cukup masa selepas PRU14 untuk memberi penjelasan dan mengubah pemikiran Melayu luar bandar berkaitan dengan isu rasuah, integriti, penyelewengan dan lain-lain. PH masih perlu mempertingkatkan kemampuannya berkaitan dengan strategi penerangan dan penjelasan isu-isu perjuangan Pakatan Harapan yang berbeza antara penduduk bandar dan luar bandar.

i. Pendekatan Strategi – PH yang diwakili oleh DAP menggunakan pendekatan makro dari segi isu dan sentimen. Berbeza dengan BN dan juga PAS yang menggunakan strategi ‘micro-targetting’ / marking pengundi. Dalam erti kata lain BN dan PAS mampu mengepung pengundi mereka yang terdiri dari ahli, penyokong dan pengundi atas pagar.

Analisis pemerhatian:
a. Ternyata keputusan itu adalah status quo. Tiada perubahan yang signifikan terhadap landskap politik negara ini selepas 9 Mei 2018. Walau bagaimanapun, kerjasama politik antara PAS dan UMNO dilihat berjaya di Cameron Highlands. Dan jika kerjasama ini berjaya, ternyata ia akan memberi kesan kepada landskap politik negara ini kelak khususnya dalam perihal politik orang Melayu.

b. Ternyata PH masih gagal dalam memenangi undi orang melayu di desa (luar bandar). Perlu di ingat bahawa tugas untuk menangani undi orang Melayu ini adalah tanggungjawab setiap parti politik yang berteraskan Melayu. Jika dalam BN, sudah tentulah UMNO dan jika dalam PH, sudah tentu BERSATU atau AMANAH dan juga  PKR. Kegagalan Pakatan Harapan menawan parlimen Cameron Highlands ialah kerana orang Melayu masih tidak yakin parti-parti politik orang Melayu dalam Pakatan Harapan mampu menjadi wadah utama bagi memperjuangkan hak mereka.

c. Ini akan menimbulkan kesulitan buat Pakatan Harapan jika parti-parti politik Melayu dalam PH masih gagal untuk menangani isu ini. Kerjasama UMNO-PAS ternyata memberi keyakinan yang lebih buat pengundi melayu khususnya di desa.

Jika PH masih gagal untuk menangani isu ini dengan baik, maka ia akan memberi kesan kepada pengundi Melayu di pinggir bandar dan bandar.

d. Pasca 9 Mei 2018 sama ada UMNO ataupun PAS telah berusaha keras menimbulkan keresahan dalam hati orang Melayu bahawa negara ini bukan ditadbir oleh orang melayu lagi. Berdasarkan keputusan PRK Cameron Highlands, ternyata mereka termakan dengan ayat-ayat ini. Perang ayat saraf ini merupakan kanser; dan jika tidak bendung sebaiknya ia akan merebak kepada orang melayu di kawasan pinggir bandar dan juga bandar.

e. Pada mulanya wujud tanggapan bahawa apabila kerajaan ini sudah bertukar, maka undi melayu di Desa khususnya di FELDA akan beralih dan menyokong kerajaan yang sedia ada atas asas bahawa sokongan BN khususnya UMNO kerana kesetiaan mereka pada kerajaan. Sekali lagi PRK Cameron Highlands membuktikan tanggapan ini silap. Pengundi Melayu desa ini mempunyai 'political wisdom' yang tinggi. Mereka memilih UMNO kerana mereka yakin bahawa parti politik ini akan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam.

f. Oleh yang demikian, menjelang beberapa bulan setahun pemerintahan PH, maka tiba masanya parti-parti politik melayu dalam PH; BERSATU, AMANAH dan juga PKR perlu lebih serius dalam menangani isu undi Melayu ini dan menjadi pesaing yang kompetitif kepada UMNO dan PAS.

g. Bagi masyarakat luar bandar mereka lebih prihatin kepada isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang, harga komoditi, bantuan kerajaan dan lain-lain masih membelenggu mereka. Masyarakat ini masih belum dapat mengapresiasi perubahan reformasi pilihan raya, parlimen dan lain-lain. Ia memakan masa.

No comments:

Post a Comment