PEKAN 29 Jan. - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
hari ini berkenan menerima menghadap Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam
Istiadat Menjunjung Duli bersempena pemasyhuran gelaran dan angkat sumpah
putera sulung baginda itu sebagai Waris Ganti Kesultanan Melayu Pahang dengan gelaran
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Majlis penuh adat istiadat diraja bermula pukul 11 pagi di
Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini itu turut menyaksikan Tengku Hassanal
Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang manakala Tengku Puan Pahang,
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil
Alallah Sultan Iskandar Al-Haj terlebih dahulu dimasyhurkan sebagai Kebawah
Duli Yang Maha MuliaTengku Ampuan Pahang.
Istiadat pelantikan dan pemasyhuran itu diadakan berikutan
pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang Keenam dalam era moden
menggantikan ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah pada 15
Januari lalu.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara Khamis lalu
kemudian memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu bagi
tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.
Bertitah pada istiadat berkenaan, Sultan Abdullah
menyifatkan ia satu peristiwa penuh bersejarah yang membuka satu lembaran
baharu dalam sejarah Kesultanan Melayu Pahang.
"Istiadat hari ini bukanlah sekadar simbolik
semata-mata, ia melengkapkan kedudukan raja pemerintah yang menjadi punca bagi
segala kuasa dalam negeri dan jajahan takluknya," titah baginda.
Sultan Pahang Keenam itu berharap Tengku Ampuan Pahang akan
menggalas gelaran itu dengan segala kemuliaan seterusnya menjadi tiang seri
yang sentiasa menyokong baginda.
Mengibaratkan Tunku Azizah umpama permata indah yang laksana
bidadari di dunia dan permaisuri di jannah (syurga), Sultan Pahang mahu Tengku
Ampuan Pahang itu terus berbakti, menerangi serta menyinari rakyat di segenap
pelosok negeri.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan Tengku Hassanal Ibrahim
yang kini menjadi Waris Ganti tentang tanggungjawab untuk memelihara dan
mempertahankan legasi Kesultanan Melayu Pahang.
"Ambillah pengajaran daripada pepatah Melayu lama yang
berbunyi 'umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga. Jika paduka
anakanda berbuat baik akan tetap dimuliakan walau di mana sekali pun,"
titah baginda.
Sultan Abdullah menambah, setiap sesuatu kurniaan di muka
bumi Allah SWT datang bersama-sama dengan tugas dan amanah yang wajib dijunjung
serta perlu dilaksanakan dengan penuh ketakwaan.
"Jangan sekali-kali juga paduka anakanda bersikap riak
dan angkuh. Ambillah resmi padi, makin berisi makin menunduk," titah
baginda. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment