Friday, January 4, 2019

Masalah jalan, warga emas lelah hampir maut

Zakhwan ketika ziarah gadis leukimia di Jerantut Feri
“Bila saya pergi ziarah (di hospital), dia kata dia rasa nak mati dah... Kerana apa? Kerana masalah jalanlah.”

Demikian cerita Adun Tahan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, menceritakan saat-saat cemas seorang warga emas 70-an penghidap lelah yang bertarung dengan maut di Kampung Batu Balak, Jerantut iaitu sebuah kampung yang tidak boleh dilalui dengan kenderaan biasa.


Sambungnya, warga emas berkenaan dalam kesakitan itu terpaksa menelefon anak-anaknya (yang tinggal berjauhan). Namun kereta biasa tak boleh masuk ke situ. Akhirnya seorang anaknya dari jauh terpaksa datang dengan kereta pacuan empat roda yang disewa dan baru boleh dibawa ke hospital.

“Jalan perhubungan menjadi sangat-sangat perlu apabila berlaku kecemasan, tetapi masalah jalan di sini. Betul, penduduk memang tak ramai, tapi  apabila musim perayaan atau cuti, jadi ramai. Anak-anak perantauan yang balik ke Batu Balak ini terpaksa tinggalkan kenderaan masing-masing di Kuala Tembeling dan naik bot.  Pengalaman saya, naik tebing pulak tu tinggi Lepas itu kena jalan kaki pula.”

Ustaz Zakhwan meluahkan demikian ketika wawancara bersama Tvmakmur dalam bicara pasca bajet 2019 di mana beliau mengambil kesempatan menyentuh tiga perkara utama di Dun Tahan iaitu bekalan air bersih, masalah jalan yang jadi keperluan rakyat dan berkaitan Taman Negara yang sinonim dengan Dun Tahan sendiri.

Zakhwan yang mewakili sebuah Dun paling luas dalam Semenanjung dari segi peta, berkata antara kampung-kampung yang beluam ada jalan berturap ialah Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Bukit Mat Daling. Di mana keadaan jalannya amat teruk dengan struktur jalan, becak, hingga merencatkan perjalanan. Melainkan dengan berkenderaan pacuan empat roda.

“Isu jalan ini perkara yg sangat kritikal kepada penduduk tambahan pula sekarang dalam suasana hujan. Untuk keluar ke bandar, beli kelengkapan persekolahan anak-anak memang sukar. Bayangkan, baucer bantuan persekolahan yang saya hantar kepada penduduk miskin dulupun masih ada yang mereka belum tukar (kerana kesukaran keluar ke bandar).

“Jadi harapan saya, buatlah apa-apa cara pun, jumpalah dengan kerajaan pusat kerana ibarat ayah dengan anak, demi untuk kebajikan rakyat kerana masalah jalan yang menjadi asas keperluan”.

Menurutnya, beliau sendiri sudah menghantar surat ke JKR.

Zakhwan berkata, beliau juga menyebut dalam dewan supaya kerajaan menekan dan mengutamakan masalah air dalam Dun Tahan ada iaitu Kampung Pagi, Ulu Sat, sebahagian Bukit Mat Daling dan Kampung Kuala Balak.

“Saya sebutkan, air adalah sumber kehidupan. Saya sebut contoh realiti di Kampung Pulau Besar di Bukit Mat Daling. Ada mereka guna air bukit namun apabila sistem atau enjin rosak bermula bermula bulan Februari lalu, air tak sampai. Di situ ada 18 keluarga dengan 60 orang. Bayangkan zaman moden ini dengan lebih 60 tahun negara merdeka, mereka terpaksa angkut air daripada sungai yang tebingnya tinggi. Sungai pula bukannya bersih seratus peratus macam dulu.”

Exco berkenaan memberi respon akan datang sendiri melihat situasi bagaimana pihak kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membantu orang ramai supaya dapat manfaat.

“Soal untung rugi itu ketepikanlah dahulu sebagai sebuah negeri yang mementingkan rakyat. Untuk permulaan saya cadangkan dibina telaga tiub dahulu supaya tidak lagi perlu berulang-alik ke sungai untuk memunggah air. Lebih-lebih lagi Dari 18 keluarga itu ada anak-anak kecil, yang bersekolah dan untuk kegunaan makan minum, membasuh dan juga mandi.

“Harap kerajaan negeri selesaikan isu ni dah lama sangat sejak sebelum merdeka. Kenyataan daripada kerajaan negeri menyebut 98% kawasan sudah ada bekalan air jadi tinggal 2% lagi. Yang 2% itulah yang berlaku di Dun Tahan. Jadi kalau boleh biarlah diselesaikanlah dalam penggal ini.”

Selain daripada itu Zakhwan juga membangkitkan di dewan isu canopy walkway Taman Negara yang ditutup. Sedangkan jambatan gantung sepanjang 600 meter dengan ketinggian 45 meter dan terpanjang di dunia itu dikira ikon Taman Negara serta menjadi tarikan paling utama.

Katanya, sebelum daripada ini ia sudah ditutup separuh kemudian untuk dibaiki (renovate). Pada 8 November ditutup sepenuhnya untuk pemeriksaan keselamatan.

“Saya diberitahu oleh pengusaha-pengusaha chalet pelancong membatalkan kunjungannya. Dengan pembatalan itu memberi kesan kepada mereka, pengusaha bot dan pengusaha makanan. Alhamdulillah, saya difahamkan minggu lepas peruntukan (untuk baiki) dah dapat dari kerajaan pusat.  Saya sebutkan dalam dewan, untuk tempoh terdekat, jika boleh buka 100 meter dulu pun boleh dah.” 

Ujarnya, beliau turut menarik perhatian dewan di mana di Taman Negara tidak ada mesin ATM sedangkan ia menjadi penting sebagai pusat pelancongan bertaraf antara bangsa. Bahkan bukan sahaja pelancong tetapi juga manfaat juga kepada beribu-ribu penduduk kampung di persekitaran. Begitulah juga dengan pengurup wang (money changer).   

No comments:

Post a Comment