Wednesday, January 30, 2019

Isu tawaran perumahan melebihi permintaan perlu penyesuaian pasaran

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan Dasar Perumahan Negara (DPN) dapat menyelesaikan banyak isu perumahan yang tertangguh sekian lama.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menekankan, termasuk permasalahan tersebut ialah isu lambakan penawaran (overhang properties), lonjakan harga, ketidakpadanan pasaran dan kesulitan mendapatkan pembiayaan.


Sambil mengalu-alukan pelancaran DPN 2018-2025 kelmarin oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Khairuddin dalam facebooknya menekankan perlunya fokus diberikan kepada penyesuaian pasaran bagi segmentasi pembeli rumah pertama dan kumpulan B40 dan M40.

Tulisnya, sekiranya masalah ‘market mismatch’ berjaya diatasi, maka isu lambakan penawaran (overhang properties) yang telah mencecah RM19.5 bilion (Suku Ketiga 2018) boleh dikurangkan.

Isu ini disokong dengan statistik jumlah hartanah bernilai di bawah RM500,000 yang berjumlah lebih 50,000 unit belum terjual.

“Selain itu, Kerajaan juga perlu campur tangan dalam pasaran disebabkan harga bagi rumah mampu milik (di bawah RM300,000) naik dengan cepat. Beberapa faktor dikenal pasti antaranya disebabkan oleh isu pembelian pukal oleh segelintir kelompok, kenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan aktiviti spekulasi keterlaluan.

“Memetik pandangan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad minggu lalu, purata harga rumah di Malaysia pada Suku Ketiga 2018 ialah RM414,469, manakala purata gaji dan pendapatan rakyat ialah RM2,880 sebulan. Harga relevan bagi seunit rumah mampu milik kira-kira RM300,000 dan ke bawah. Walhal, permintaan sebenar rumah mampu milik masih tinggi.”

No comments:

Post a Comment