Thursday, January 10, 2019

PAS bersetuju calon wakil BN di PRK CH

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu bersetuju dan berpuas hati dengan calon yang dikemukakan sebagai mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 nanti, iaitu bekas ACP Ramli bin Mohd Nor.

Calon tersebut adalah berketurunan Orang Asli tempatan dan beragama Islam.


Dalam kenyataan media yang diedarkan, beliau turut mewakili Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang amat bersetuju dengan calon tersebut.  

Katanya, PAS yakin pemilihan calon tersebut amat tepat berdasarkan suasana semasa dan juga geopolitik di Parlimen Cameron Highlands sendiri.

“PAS percaya pencalonan yang dibuat atas dasar tolak ansur parti-parti BN dan penerimaan baik oleh parti-parti pembangkang lain termasuk PAS boleh mewujudkan ‘Muafakat Pembangkang’ yang kuat sekali gus menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi membolehkan BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, PAS akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN Pahang dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan gerak kerja membantu calon BN.

“Jentera Pilihan Raya PAS akan diketuai oleh Naib Presiden, Dato’ Iskandar Abdul Samad sebagai Pengarah Strategik, manakala Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar, sebagai Pengarah Operasi,” katanya.

Menurutnya, PAS juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri Hari Penamaan Calon pada 12 Januari 2019 sebagai sokongan kepada calon pembangkang.

Tambahnya, PAS turut mempersoalkan hasrat DAP terus meletak calonnya dalam PRK Cameron Highlands menunjukkan DAP bersikap pentingkan diri dan hanya ingin menguatkan kedudukannya dalam PH, sedangkan mereka sudah mempunyai banyak kerusi berbanding parti-parti lain, terutamanya PPBM.

“DAP sepatutnya mencontohi MIC yang ‘berjiwa besar’ memberikan laluan kepada BN meletakkan calon lain asalkan memberi manfaat kepada Pembangkang.

“Begitu juga MCA yang sedia melupakan perbezaan pandangan semata-mata atas dasar ‘Solidariti Pembangkang'.”

Parlimen P.78 Cameron Highlands mempunyai 32,048 pengundi dengan peratusan Melayu-34%, Cina-29%, India-15%, Orang Asli -22%). Pada PRU lalu  Datuk C. Sivarrajh dari MIC/BN telah menang dengan majoriti 462 undi. Beliau mendapat undi 10,307, Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS 3,587), M. Manogaran (DAP 9,710), Mohd. Tahir Kassim (81) dan B. Suresh Kumar (680).

PRK diadakan berikutan keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan Sivarrajh.

No comments:

Post a Comment