Sunday, January 13, 2019

PAS Pahang sembah tahniah pelantikan Sultan Abdullah



PAS Pahang menyampaikan sembah tahniah atas pelantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang Ke-6

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, seluruh rakyat Pahang teruja dengan pelantikan baginda.

"Saya yakin baginda akan melaksanakan amanah ini dengan penuh bijaksana dan saksama," ujarnya.

Majlis pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang akan diadakan pada jam 11 pagi Selasa ini, di Istana Abu Bakar, Pekan. Perkembangan terbaharu itu juga bakal memungkinkan Tengku Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.
Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.
Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di sini adalah anak keempat daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.
Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.








No comments:

Post a Comment