Tuesday, January 8, 2019

PH versi BN 2.0 semakin jelas tersertah

Oleh : DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

Ketika usia kerajaan Pakatan Harapan belum mencecah usia setahun sejak memenangi Pilihanraya Umum ke 14, perangai dan watak UMNO BN yang mereka kutuk dan telanjangi sudah terlihat jelas disalin oleh mereka pula.  Tidak salah persepsi rakyat bahawa PPBM sekadar menjadi UMNO 2.0 manakala PH adalah BN 2.0 kerana tindakan dan langkah mereka serupa, walaupun parti dan kerajaan berubah. Kuasa adalah mandraguna yang mengundang petaka jika tidak diurus dengan iman dan taqwa, rakyat merasa mual dan geli melihat pemimpin PH tetap mengulangi kesilapan regim dahulu. 



UMNO / BN  yang diturunkan pada PRU ke 14 bukan kerana PH mahu memperjuangkan nasib rakyat, tetapi atas dasar tidak puas hati mereka mereka tidak mendapat habuan sebagaimana para pemimpin UMNO dahulu dapat. Ternyata jelas mereka  sekadar untuk menyambung legasi tinggalan UMNO yang rosak itu. Kini takhta kerajaan telah mereka miliki, dan langkah yang sama dilakukan oleh para pemimpin UMNO pula dilakukan oleh mereka. Apa beza mereka dengan UMNO?

Kita melihat satu demi satu usaha merebut  ‘ghanimah’ kerajaan semakin menjelma. Bermula dengan cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang mahu projek kerajaan diberikan kepada ketua Bahagian dan Cawangan parti itu.  Tan Sri Abdul Rashid yang bukan dari jalur politik terlalu jujur berkata-kata dan berterus terang dalam ucapannya sehingga menjadi perhatian pemuda PPBM. Mereka membantahnya, tetapi dalam masa yang sama sudah mula menjayakan gesaan Naib Presiden itu.

Pelantikan beberapa pemimpin dan penyokong PPBM dalam syarikat GLC  melawan langsung janji mereka dalam manifesto PRU ke 14 lalu untuk tidak akan ada lantikan politik bagi “syarikat berkaitan kerajaan”.  Pelantikan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi anak bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid sebagai pengerusi syarikat pelaburan milik Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation Sdn Bhd, Datuk Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara), dan peguam terkenal, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mengabsahkan ketamakan mereka. Peduli apa kritikan dan kutukan pembangkang, usah dihiraukan laungan supaya mereka kembali memegang janji dalam Piliahnraya. Sekarang kerajaan sudah ada di kaki, mengapa mahu melepaskan peluang terhidang di depan mata? Berikan sedikit alasan seperti layak, ada merit dan pengalaman, rakyat pasti akan menerimanya.

Hari ini timbul isu di Perlis, rasuah membabitkan seorang pemimpin kanan PPBM. Laporan polis dan aduan bukan dibuat oleh pembangkang, tetapi dibuat sendiri oleh Wan Saiful Wan Jan, setiausaha PPBM Perlis yang dipecat. Salah guna kuasa, penyelewengan, perebutan jawatan dan kuasa, ketamakan membawa kepada penipuan, mencantas jawatan, penyingkiran, mewujudkan blok, kem atau kartel yang menjurus kepada perpecahan.  Ini menunjukkan pemburuan  harta dan jawatan adalah agenda utama mereka dan semakin membudaya dalam PPBM, termasuk PH. Di mana perjuangan membela rakyat yang mereka laungkan dalam Perhimpunan Agung PPBM baru-baru ini?

Sementara kisah ini belum selesai, episod peralihan kuasa Perdana Menteri dengan seorang yang bakal dinobatkan menjadi PM juga mungkin menjadi ‘ibu segala pertelingkahan’ dalam PH. Bunga-bunganya sudah kelihatan, apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sudah berani bersuara menentang secara terang-terangan pelantikan Presidennya sendiri dalam jawatankuasa tertinggi PKR. Sudah mula ada cakap-cakap, Datuk Seri Anwar juga akan kehampaan buat kali keduanya. Sudah kelihatan para pelobi yang mula memasang pengaruh dan kartel untuk menaik atau menolak mana-mana tokoh tertentu. Ramai juga yang pasang angan-angan berada di sisi pemimpin besar dengan membodek setinggi mungkin. Sudah ada pemimpin yang gambarnya kelihatan di bersiar dan bercuti di kepulauan mewah luar negara bersama keluarga – menandakan gaya hidup serba mewah yang dikecapi.

Perjuangan rakyat?  Slogan itu semakin hilang sekarang dan hanya kata-kata muluk penghias bibir yang hipokrit. Kerakusan pemimpin hari ini  bukan lagi menjadi rahsia, mereka sedang giat membina jaringan kroni kapitalisme untuk menumpuk harta .Sehingga saya terfikir apa yang istimewa dengan Malaysia Baru?. Perlecehan pada Islam, pergeseran antara ras dan etnik, kebiadapan pada institusi beraja, penularan fahaman Islam inklusif, jurang kaya miskin yang semakin melebar. Dipapan utama sinetron politik, pemimpin kerajaan sedang enak meneguk manis kekuasaan. Maklumlah, PRU ke 14 baru sahaja tamat dan pemimpin kini sedang menikmati kehidupan mereka. Tunggulah dekat-dekat PRU ke 15 slogan itu kembali menggema merayu dan menagih simpati rakyat pada mereka.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)

No comments:

Post a Comment