Wednesday, October 3, 2018

Penemuan harimau Malaya dan pembalakan

Kemunculan seekor harimau berhampiran Taman Negara Kuala Tahan baru-baru ini yang sempat dirakamkan, membuatkan masyarakat mulai berfikir tentang alam sekitar dan apakah haiwan liar perlindungan itu mulai terasa terancam akan tempat kediamannya.

Ia tidaklah mustahil jika hutan dan rimba diteroka semahu-mahunya tanpa kawalan demi untuk mengeluarkan kayu balak bernilai tinggi.


Baru-baru ini tular di laman sosial berkenaan rakaman video penemuan seekor harimau yang melintas jalan di kawasan paling hulu di Pahang itu.

Setakat ini Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara  Pahang telah menghantar sepasukan enam anggotanya bagi menyiasat tentang penemuan harimau Malaya tersebut bagi memastikan keselamatannya dan penduduk di kawasan itu, pasukan tersebut akan menyiasat punca harimau  terbabit  merayau keluar dari kawasan habitatnya.

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa belantara tropika di situ yang mempunyai kayu-kayan berusia ribuan tahun, mempunyai nilai yang sangat tinggi sehingga menggiurkan kepada pengusaha-pengusaha balak di negara ini.

Mungkin kemunculan ‘pak belang’ hanya sebagai satu petanda namun jika benar-benar kawasan yang mewah kayu balak itu ditebang sekehendak hati akibatnya nanti ialah kesan kepada alam sekitar seperti kualiti air, terlalu mudah banjir kerana tiada lagi serapan, kemarau dan sebagainya selain membahayakan penduduk tempatan sendiri jiha haiwan liar atau binatang buas yang lain bergelandangan.

"Jika dilihat di Taman Negara tidak ada masalah dari segi kitaran makanan, ia masih stabil dan terpelihara namun di kawasan hutan Jerantut kita tidak pasti sama ada berlaku pembalakan di kawasan itu yang menyebabkan haiwan liar berkenaan terpaksa keluar untik mencari makanan, " kata Ahmad Azhar selaku Pengarah Jabatan Hidupan Liar.

Walaupun balak merupakan sumber ekonomi kepada kerajaan namun risiko-risiko lain juga perlu diperhalusi. Kadang-kadang mungkin kerajaan tidak membenarkan pembalakan di kawasan tadahan atau hutan simpan kekal, namun apa yang berlaku ialah pencerobohan dan kecurian. Jadi, penguatkuasaan itulah yang lebih penting.


No comments:

Post a Comment