Thursday, October 18, 2018

Kisah seorang tuan guru yang dipulaukan

Oleh: DR NUR ILYANI MOHAMED NAWAWI

Saya amat jarang berbicara soal politik. Tetapi ini adalah harapan dari ayahanda Ustaz Mohamed Nawawi Mohd Zain agar saya menulis sesuatu manakala beliau menceritakan kisah ini.

Tuan Haji Mohd Zain adalah seorang guru agama dan al Quran di salah sebuah kampung di kawasan Pasir Mas. Beliau mendapat pendidikan di beberapa buah pondok, salah satunya Pondok Bunut Payung di Kelantan. Seusai pengajian, beliau pulang ke kampung halaman untuk mencurah bakti kepada masyarakat.

Sebagai seorang yang celik perjuangan islam, Tuan Haji Mohd Zain menjadi pengasas awal kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Cawangan Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas yang pada ketika itu masih menggunakan lambang bulan & bintang.

Jatuh bangun beliau mendidik masyarakat seiring dengan ‘goncangan’ terhadap parti islam itu sendiri. Saya menggunakan perkataan ‘goncangan’ agar pembaca semua mengerti bahawa setiap ujian yang menimpa itu merupakan ‘goncangan’ ujian dari Allah Ta’ala.

Antara goncangan ujian yang menimpa Parti Islam pada masa itu ialah penubuhan BERJASA. Nama penuhnya ialah Barisan Jemaah Islamiah, pengasasnya ialah Dato’ Haji Muhamed Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan, pada tahun 1977 ketika beliau dipecat oleh Parti Islam Se Malaysia (PAS). Penubuhan BERJASA yang juga memperjuangkan islam memberi impak yang sangat besar dalam struktur geo-politik semasa ketika itu mengakibatkan PAS hanya mampu mengekalkan 2 kerusi DUN dan kerajaan PAS tumbang di Kelantan. Sehinggakan ada yang menggelarkan PAS tiada apa-apa kecuali 2 batu nisan sahaja. PAS terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyusun kembali saf perjuangan. Itu di suatu sudut.

Di suatu sudut yang berbeza di sebuah kampung kecil, seorang guru al quran ini yang merupakan rakan rapat kepada Dato’ Haji Muhamed Nasir, tetap dengan pendirian berbeza. Pada tahun 70’an beliau telah pun mengungkap perkataan “istiqamah”. Pada saat itu, seluruh orang kampung, cawangan-cawangan, malahan kawasan bertukar menjadi penyokong & pendokong BERJASA. Semestinya orang keliru cukup dengan namanya sahaja yang tampak lebih islami dan mesra semua. Tinggal dia seorang. Seorang dia sahaja yang memegang panji Parti Islam se – Malaysia. Kerana beliau mengerti bahawa perjuangan islam ini bercerainya hanya sa bercerainya ruh & jasad. Atau Jemaah yang asalnya ditubuhkan dengan al- quran & as sunnah itu sudah menanggalkan prinsip perjuangannya. Selain daripada itu, perlu tetap istiqaamah.

Kemuncak ujian apabila beliau dan keluarga dipulau di kampung tersebut. Pengajian al quran disabotaj, polis-polis datang menggertak. Orang-orang kampung ada yang bersimpati tetapi tidak berani untuk menyuarakan pandangan apatah lagi datang meringankan beban. Lebih pelik lagi beliau mengajarkan pengajian al quran dengan ikhlas tanpa bayaran kepada anak-anak kampung sedangkan ibu dan ayah mereka tetap memulaukan beliau. Namun beliau tetap berkata, "tidak mengapa, Allah ada, Allah yang akan mengganjari."

Pada ketika BERJASA kuat dengan jentera yang hebat, tinggal beliau seorang sahaja yang tetap dengan pendirian masih bersama PAS. Dan pada pilihanraya umum 1978 memperlihatkan UMNO/BN menang di 23 kerusi DUN, PAS 2 kerusi, BERJASA 11. Keputusan pilihanraya menepati strategi UMNO untuk memecahkan undi PAS kepada PAS & BERJASA. Dan pada ketika itu, Tuan Haji Mohd Zain sudah dapat meramal PAS bakal mengalami kekalahan teruk. Beliau dengan tenang pada awal awal pagi pada hari pembuangan undi mengayuh basikal tua untuk mengambil nombor paling awal sekali agar, “ walaupun parti islam tidak menang, menang dibuang undi no1 pun jadilah”. Dan beliau Berjaya menjadi orang pertama yang membuang undi untuk Parti Islam se Malaysia UPU Hutan Cengal di DUN Tendong, Kawasan Pasir Mas pada tahun 1978. PAS menang moral.

Kemudian terdapat beberapa orang kampung yang menyokong PAS tetapi tiada kenderaan untuk ke tempat mengundi, Tuan Haji Mohd Zain hartanya hanya satu basikal tua dan sebuah madrasah tempat mengajar. Ayahanda Ustaz Nawawi yang ketika itu seorang remaja hanya memerhati kelibat ayahanda beliau mundar- mandir berfikir bagaimana caranya untuk membantu golongan minoriti yang masih menyokong PAS untuk ke tempat pembuangan undi. Sedangkan pada ketika itu seluruh jentera canggih milik BERJASA & UMNO/BN. Betapa kerdilnya rasa manusia-manusia yang istiqamah ketika itu.

Tiba-tiba keluar sebuah beca buruk, diletakkan satu bendera PAS yang besar, seorang tua yang nampaknya sungguh-sungguh hati mengayuh beca menghala ke rumah Tuan Haji Mohd Zain untuk mengangkut mereka yang berniat membuang undi untuk PAS. Di sebalik bendera UMNO/BN, BERJASA berkibar gah di pinggir-pinggir jalan, kelihatan kelibat bendera kecil PAS hijau putih berkibar milik beca ini. Ayahanda yang ketika itu masih mentah terus berasa sebak mengenangkan bagaimana seorang lelaki tua penarik beca punya kekuatan sebegitu untuk perjuangan ini.

Dan pak cik tersebut meninggal dunia tanpa sempat melihat kejayaan PAS pada pilihanraya umum selepas itu.

Kisah diatas ini hanyalah satu kisah terpencil di sebuah kampung kecil. Mungkin anda semua merasa kisah ini hanya picisan berbanding peristiwa Memali dan sebagainya. Tetapi bagi orang yang menghargai nikmat perjuangan akan mengerti betapa mahalnya harga istiqamah yang perlu dibayar. Kerana istiqamah, ‘stead fast’ itu adalah sifat para nabi setelah iman mereka tergongcang sekuat hati. 

Al- fatihah,
untuk almarhum Tuan Haji Mohd Zain ( Tok AYAH). Semoga anak cucu cicit tok ayah akan tetap istiqaamah dalam perjuangan islam.

Diceritakan oleh,

Ustaz Mohamed Nawawi Mohd Zain
Ketua,
Urusan Dewan Ulama,
Parti Islam se-Malaysia (PAS),
Kawasan Pasir Mas.

---------------------------------------------------------------

Penulis merupakan seorang doktor perubatan yang aktif dan istiqamah bersama PAS.

No comments:

Post a Comment