Tuesday, October 30, 2018

PAS Pahang tolak agenda Barat di negara ini

PAS Pahang kekal dengan pendirian menolak sebarang tindakan atau keputusan  mana-mana pihak yang jelas menjejaskan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan Islam atas apa bentuk sekalipun akan ditentang.

Beliau yang juga Adun Beserah berkata, atas pendirian yang jelas itu, PAS Pahang menolak dan membantah tindakan kerajaan PH yang komited meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Perkara ini jelas akan memberi kesan kepada Islam dan hak umatnya di negara ini.



“Usaha untuk sama ratakan  hak semua agama perlu ditolak kerana ia melibatkan hak umat Islam yang termaktub dalam perlembagaan,”katanya kepada media.

Andansura berkata, justeru beliau menyokong Himpunan Bantah Pengiktirafan Hak Asasi Manusia Acuan Barat akan diadakan dalam tempoh terdekat seperti diumumkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

“Sebagai umat Islam, kita perlu tegas dan menolak sebarang bentuk tindakan yang seolah cuba menganggu hak umat Islam,” katanya.

Nasrudin dalam kenyataannya sebelum ini berkata,  himpunan itu akan diadakan sebagai membantah pelaksanaan perjanjian itu yang dikatakan selaras dengan manifesto PH.

Tindakan itu katanya boleh menimbulkan  pelbagai ancaman khususnya melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan lebih memburukkan keadaan Malaysia akan terikat, tunduk dan dikawal oleh kuasa luar secara tidak langsung.

“Isu-isu kebebasan untuk murtad serta penghapusan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan tergadai sekiranya negara meratifikasi perjanjian-perjanjian ini.

“Tambahan pula, semua peruntukan perjanjian akan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment