Thursday, October 4, 2018

Anak Beserah, Kuantan antara 6 yang terkorban

Seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban lemas ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, ialah penduduk Beserah, Kuantan Pahang

Anggota terbabit ialah Mohd Fatah Hashim, 34, di mana rumahnya terletak di belakang kedai makan berhampiran selekoh tajam Beserah, berhadapan dengan hardware di situ.

Selain Mohd Fatah, turut terkorban dalam tragedi berkenaan ialah Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 ; Mazlan Omar Baki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


Menurut kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid, dalam operasi pencarian remaja lelaki yang terjatuh ke dalam lombong, di mana pasukan penyelamat yakin mangsa mungkin berada di kawasan pusaran air.

Enam penyelamat berkenaan yang lengkap dengan peralatan telah turun ke kawasan satu pusaran air yang sangat deras sehingga mereka dilaporkan bergelut dengan arus deras yang tidak terduga menyebabkan mereka berpusar sekali dengan peralatan dan gagal untuk keluar dari pusaran itu sehingga peralatan menyelam mangsa tertanggal.

Dalam suasana genting itulah dipercayai keenam-enam mereka telah terbelit tali yang dipakai antara satu sama lain sebelum dibawa arus deras.

Kesemua pegawai tersebut berjaya dinaikkan ke atas dan pasukan perubatan yang berada di lokasi memberikan rawatan kecemasan, namun kesemua enam mereka disahkan meninggal dunia.

Manakala mangsa remaja lelaki yang terjatuh sebelum itu, masih belum ditemui. 

1 comment:

  1. FB Mufti Wilayah Persekutuan

    Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas. Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis:

    الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

    Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”

    Riwayat al-Bukhari (653)

    Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban. Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin.

    Atas asas inilah, berhimpun pada kami perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, yang kami sifatkan luar biasa.

    Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.
    Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya. Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha Allah akan datang bantuan daripada-Nya.
    Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.
    Kepada kerajaan Malaysia, kami syorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka. Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja.
    Akhir kalam, marilah sama-sama kita merafakkan doa agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah.

    Al-Fatihah buat mereka. Sekali lagi, takziah buat keluarga.

    اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ

    Amin…



    Akhukum fillah,
    S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
    Mufti Wilayah Persekutuan
    4 Oktober 2018 bersamaan 24 Muharram 1440 Hijrah.

    Pautan ke laman rasmi PMWP : https://bit.ly/2OuV5sj

    ReplyDelete