Wednesday, October 31, 2018

Eloklah mufti nasihatkan menteri

Langkah Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof menegur Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan agama agar tidak disalah tafsir, adalah tepat (lihat Sinar Harian hari ini).

Ini kerana bukan sekali, malah telah berkali-kali Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengeluarkan kenyataan yang berbaur kekeliruan dan kontroversi sehingga meresahkan umat Islam.


Bermula dengan isu Hifz al-Din (menjaga agama), isu tandas LGBT, juga isu Dr Zakir Naik isu tangkapan khalwat hinggalah terbaharu yang didakwa Mujahid bahawa tidak semua golongan gay dan trangender di negara ini terbabit dalam hubungan songsang.

Beliau yang juga Naib Presiden Amanah sebelum itu mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendedahkan terdapat kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini berbanding lima tahun lalu. Iaitu kenaikan 100 peratus dalam masa sesingkat itu!


Mufti tersebut melihat kenyataan Mujahid itu berlandaskan akal fikiran semata-mata dan ini tidak sepatutnya kerana jika beliau tidak mempunyai kefahaman agama, sapatutnya jangan disentuh isu-isu agama seumpama agar tidak mengelirukan.

Kata mufti, jika agama sudah katakan salah, ia tetap salah dan tidak boleh berubah mengikut keadaan kerana kolongan LGBT ini samada terlibat dalam hubungan songsang atau tidak, ia tetap salah dan haram dalam Islam.

Sebaliknya pendedahan Jakim tersebut seharusnya dipandang serius oleh kerajaan dan sewajarnya diambil langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian tanpa mentafsirkan itu dan ini mengikut akal fikiran semata-mata.

Jika tidak, kesempatan ini akan diambil oleh puak-puak liberalisme dan pluralisme untuk terus menjayakan agenda mereka dan kesannya boleh meruntuhkan budaya dan akhlak generasi muda Islam akan datang jika tidak dibendung.

Sementara itu, kes ini mengingatkan kita dengan saranan daripada Naib Ketua Dewan Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari tempoh hari, bahawa Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed sepatutnya menilai semula kedudukan Mujahid selaku Menteri Agama yang sering menimbulkan kontroversi dan keresahan umat Islam.

Kenapa perlu mengulas isu-isu yang sudah disepakati ulamak dan umat Islam, walhal banyak lagi isu-isu umat Islam yang masih belum selesai. Sepatutnya dengan kedudukannya, beliau sayugianya mengambil kesempatan memperkasakan Islam sehingga dihormati sebagaimana beliau sendiri yang memilih cogan kata “kerajaan rahmatan lil ‘alamin.


No comments:

Post a Comment