Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu menggesa
agar pengundi-pengundi dalam PRK P.132 Port Dickson memilih calon PAS pada
Sabtu ini memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
Sesuai dengan taglinenya calon PAS Lft.Kol (B) Haji
Mohd Nazari Mokhtar ‘PD Sejahtera’, Andan yang juga Adun Beserah itu yakin mampu
mengangkat Port Dickson kembali gemilang sebagai bandar pelancongan.
Sebelum itu Andan telah melawat Tanjung Agas dan Kampung Teluk Pasir Panjang di daerah
tersebut di mana keadaan sekitar dan pemandangan adalah terlalu teruk dan
perlukan perubahan.
“Saya berada di Tanjung Agas, muara Sungai Linggi
sempena kempen PRK PD. Yang memeranjatkan saya ialah sampah sarap di muara
sungai yang berada dalam daerah Port Dickson ini yang begitu menyakitkan mata
dan hati.
“Kita dapat lihat sampah, botol, plastik, kayu dari
hulu sampai ke muara. Saya rasa keadaan ini sangat serius yang sepatutnya
diberikan perhatian. Kerajaan PH walaupun baru memerintah lima bulan, ternyata
mereka gagal mengangkat isu-isu alam sekitar ini,” katanya
Katanya, ketika melawat medan jeti nelayan Kampung
Teluk Pasir Panjang pula, didapati kawasan tersebut amat menarik dan boleh
dijadikan pusat pelancongan berasaskan perikanan namun beberapa perkara didapati tidak diberi
perhatian termasuk faktor keselamatan.
“Ada beberapa perkara seperti ketiadaan lampu, tidak
mempunyai penghadang sementara kemudahan-kemudahan lain pula kelihatan terbiar dan
semak-samun dibiarkan.
“Ini menunjukkan kawasan-kawasan ini tidak diselenggara
dengan baik dan keutamaan serta fokus tidak diberikan. Jika berterusan bagaimana
untuk dapat menggamit pengunjung-pengunjung?.
“Sedangkan Port Dickson berpotensi menjadi menjadi
bandar pelancongan yang mempunyai manfaat besar
kepada rakyat dan negeri,” ujarnya.
Tambahnya, beliau yakin dengan calon PAS yang akan dapat
memberi komitmen dan tumpuan sehingga Port Dickson akan cemerlang semula dan dalam masa yang sama
dapat memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sendiri.
“Oleh itu saya berharap dan menyeru agar
pengundi-pengundi membuat satu perubahan demi kedudukan yang lebih baik. Jadikanlah
ini salah satu titik perubahan bahawa kerajaan yang tidak cakna tidak semudah
itu mendapat mandat daripada rakyat.
“Satu perkara penting, perlu buat perubahan supaya
tidak berlaku lagi pada masa akan datang.”
No comments:
Post a Comment