Wednesday, October 10, 2018

Gesaan supaya kedudukan Mujahid di kaji semula, tepat

Gesaan supaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkaji semula kedudukan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam adalah bertepatan dan sangat wajar.

Ini kerana beberapa kenyataan Mujahid seolah-olah dilihat memang sengaja menimbulkan kontroversi dan kekeliruan terhadap umat Islam di negara ini apatah lagi sebelum ini tidak pernah berlaku seorang menteri portfolio agama yang seakan-akan mempertikaikan peraturan-peraturan dan ketetapan berkaitan agama Islam yang telah sedia ada.


Gesaan itu dibuat oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari kelmarin.

Beliau melihat beberapa polemik dan kekeliruan telah bersambung-sambung sejak Kerajaan baru PH memimpin pusat dan Ahli Parlimen Parit Buntar itu  telah mengeluarkan empat kenyataan yang menimbulkan keresahan ramai.

"Bermula  isu Hifz al-Din (menjaga agama),  isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),  juga isu Dr Zakir Naik dan terbaharu khalwat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika menziarahi mangsa kebakaran di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kampung Kubang Terap di sini.

Menurut Ahmad Fadhli dalam isu khalwat, beliau melihat apa yang dilaporkan pihak media adalah daripada pemahaman jelas berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Naib Presiden Amanah itu.

Katanya, sekiranya kenyataan itu tidak benar Pemuda PAS mencabar Mujahid menyaman media berkenaan.

Ahmad Fadhli berkata, tindakan itu bagi membersihkan nama Mujahid sekiranya perkara tersebut tidak benar.

Apabila ditegur oleh para mufti, Mujahid dilihat cuba mendapatkan jalan selamat dengan berkata beliau sepatutnya dihubungi untuk diberikan penjelasan. Persoalannya, kenapa beliau sendiri yang begitu teruja mengeluarkan kenyataan kontroversi dan buka sekali malah sudah empat kali.

Apabila tersepit dan terdesak, barulah mencari dalih untuk melepaskan diri.

Walhal, banyak lagi isu-isu umat Islam yang masih belum selesai. Beliau yang keluar daripada PAS setelah kalah dalam pemilihan pada 2015 dulu, sepatutnya mengambil kesempatan memperkasakan Islam sehingga dihormati sebagaimana beliau sendiri yang memilih cogan kata “kerajaan rahmatan lil ‘alamin.

“Ini tidak, segala peraturan atau amalan yang telah digunapakai sejak zaman berzaman seolah-olah mahu dirungkainya,” komen seorang penulis maya.

No comments:

Post a Comment