Pusat perkelahan dan rekreasi terkenal Lata Meraung di
Jerantut dahulunya menjadi sebutan ramai kerana keindahan panorama sekitarnya,
kejernihan airnya serta keheningan suasananya yang begitu mengasyikkan.
Terjunan airnya yang
menerjah batu batan serta bunyi cengkerik dan unggas liar sebagai melodi alam
pula umpama menggamit dan menyambut para pengunjung ke destinasi kurang lebih 16
kilometer dari bandar Jerantut itu untuk berpesta dan mandi manda. Ia menjadi
tumpuan pengunjung sejak ia dibuka pada tahun 1991.
Airnya yang dingin pula membuatkan seolah olah mereka
yang bertandang dari seluruh negara tidak puas-puas bertumpu dan bercanda terutama pada setiap
hari cuti persekolahan.
Namun itu semua hanya tinggal kenangan. Sejak beberapa
bulan yang lalu Lata Meraung sudah dilanda pencemaran yang tenat. Kunjungan Adun
Damak Ustaz Zuridan Daud bersama seketeriat dan Lajnah Alam Sekitar Jerantut
mendapati segala-galanya berubah. Air
yang dahulunya jernih kini bertukar laksana teh susu. Kolam air kebiasaan
tempat bermandi-manda yang dahulu kedalamannya separas dada kini menjadi cetek
dan dipenuhi dengan lumpur pekat yang
turun bersama air terjun.
Air terjun Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol,
Jerantut terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut yang turut menempatkan
Taman Eko Rimba Lata Meraung. Dahulunya jernih kini menjadi keruh.
Bukan sahaja keruh, berbau hanyir bahkan paras air yang
dahulunya diakui dalam oleh penduduk tempatan, kini semakin cetek sekadar paras
pinggang kerana dipenuhi selut.
Punca air di Lata Meraung datangnya dari Sungai Ulu
Cheka namun penduduk tidak pasti dari mana bermulanya kekeruhan tersebut tetapi
penduduk tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pembalakan berlaku di sekitar
kawasan air terjun itu.
Serentak dengan itu, Adun Damak berharap jabatan yang
terbabit seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pelancongan Negeri, Jabatan
Perhutanan dan lain-lain boleh mengambil tindakan yang sewajarnya untuk
pemuliharan semula Lata Meraung yang kami sayangi.
Jika kemusnahan kecil ini dibiarkan berterusan boleh mengaibkan
negara ini sendiri di mata dunia terutama jika pelancong luar bertandang ke
hutan yang turut dihuni kira-kira 202 keluarga dengan 805 penduduk Orang Asli
tinggal di kampung berhampiran itu.
Sepatah kata seorang pengunjung, ....”jangan biarkan
air terjun ini meraung kesepian...”
Ustaz Zuridan memfokuskan ke arah air terjun yang dulunya tempat mandi-manda tetapi kini airnya keruh dan berbau
Ustaz Zuridan memfokuskan ke arah air terjun yang dulunya tempat mandi-manda tetapi kini airnya keruh dan berbau
No comments:
Post a Comment