Saturday, September 8, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan Semakin Melampaui Batas

Antara asas tertubuhnya Negara Malaysia ini ialah prinsip Federalisme iaitu persekutuan yang menggabung kesemua 13 Negeri dan Wilayah.

Perlembagaan Malaysia yang merupakan dokumen perundangan tertinggi negara ini dengan terang lagi jelas menyatakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengandungi tiga senarai perundangan iaitu;
Senarai I—Senarai Persekutuan
Senarai II—Senarai Negeri
Senarai III—Senarai Bersama
Bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara, kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab melaksanakan bidang kuasa masing-masing dan tidak melampaui had bidang kuasa yang telah dinyatakan di dalam Perlembagaan.


Antara kuasa utama Negeri ialah mengenai agama Islam. Ia terkandung di dalam Butiran 1, Senarai 2, Jadual Kesembilan;

"1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu."

Punca kuasa Mahkamah Syariah yang ada di setiap negeri adalah daripada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang diluluskan di Parlimen seawal tahun 1965.;

"Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut."

Pada 12 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu telah mensabitkan hukuman enam kali sebatan dan denda sebanyak RM3,300 kepada 2 orang pesalah Lesbian dengan berpandukan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Pelaksanaan hukuman sebatan Syariah ini dilaksanakan pada Isnin, 04 September 2018 di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dengan bersaksikan 100 orang terdiri daripada ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media serta wakil Kerajaan Negeri.

Tiada sebarang rakaman dibenarkan semasa pelaksanaan hukuman dijalankan. Kamera dan telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama hukuman sebat syariah dilaksanakan di khalayak ramai.
Nun di Sabah Negeri di bawah bayu telah pun lebih awal melaksanakan hukuman sebat syariah di kamar Mahkamah kali pertama pada 28 Oktober 2014, kali kedua pada 9 Oktober 2015, kali ketiga pada tahun 2016 dan terkini pada 13 April 2018.
Yang membezakan kes di Sabah dan Terengganu ialah pesalah di Sabah berkenaan kesalahan berzina berlainan jantina manakala di Terengganu pula berkenaan kesalahan musahaqah persetubuhan sesama jantina perempuan.

Pelbagai pihak bersuara mengenai pelaksanaan hukuman sebat syariah ini. Antara yang paling lantang membantah ialah SUHAKAM, Majlis Peguam, Amnesty International, Sister in Islam dan kelompok pejuang hak asasi lain.
Tidak kurang juga pemimpin bukan Islam seperti Hannah Yeoh DAP, Charles Santiago DAP turut masuk campur berkenaan hal ehwal ummat Islam.

Namun,apa yang lebih aneh apabila calon PM ke 8, Anwar Ibrahim pun turut mempertikaikan pelaksanaan hukuman ini katanya tidak melalui proses yang betul.

Kemuncak suara bantahan ialah apabila Kabinet Kerajaan Persekutuan yang bermesyuarat semalam turut menyatakan pendirian mereka dalam hal ini. Kenyataan rasmi tersebut disiarkan melalui rakaman video di Facebook Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada pagi ini.
Kerajaan Persekutuan PH menyatakan pendirian berikut;
- bahawa hukuman tersebut tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.
- Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.
- pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.
- Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang. Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam.
- kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.

Kerajaan Pakatan Harapan kelihatannya begitu prihatin apabila perkara yang berkait dengan pelaksanaan hukum Islam oleh Mahkamah Syariah.
Mengapa pula mereka diam membisu 1000 bahasa terhadap apa yang sudah lama dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil iaitu hukuman sebat yang jauh lebih kejam lagi menyeksakan.
Adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan PH ini tidak tahu menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.?

Begitu malang nasib ummat Islam di Malaysia, hendak laksana hukum mengikut agama kita sendiri pun tidak boleh dihormati haknya walaupun sudah dijamin dalam Perlembagaan.
Tidak adakah para alim ulamak dalam Kerajaan yang mampu menegur dan memberi nasihat yang betul kepada pemimpin PH khususnya Perdana Menteri.?
Ke mana hilangnya suara alim ulamak dalam PAN yang dikatakan membawa Islam versi progresif dan rahmatan lil alamin.?

Impian ummat Islam untuk melihat Akta 355 dipinda bagi meningkatkan martabat Mahkamah Syariah kelihatannya kian suram lagi kelam di era pentadbiran PH ini.
Manakan tidak, had hukuman 6 sebatan yang sudah sedia ada pun Kerajaan PH gagal untuk menghormati pelaksanaannya.
Kerajaan PH bersikap begitu double standard dan prejudis dalam hal pelaksanaan Islam.
Kononnya pesalah perlu diberikan nasihat sahaja, tidak perlu dijatuhkan hukuman lagi.

Oh, kalau begitu apa gunanya ada undang-undang kalau tidak perlu dipatuhi.???
Bolehkah kita cadangkan kepada Kerajaan PH agar segala pesalah di Mahkamah Sivil juga patut diberikan kemaafan, hukuman penjara dan sebatan wajar dimansuhkan kerana ianya bersikap menghukum dan mengaibkan.

Mengapa pula pesalah jenayah seperti perompak, pencuri, pembunuh, pengedar dadah, perasuah dan segala macam kes jenayah dijatuhkan hukum.?
Hal ini kerana undang-undang berfungsi untuk mengatur sistem kehidupan, menjaga hak, menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman.

Namun, pasti ada bezanya dengan sistem perundangan Islam dan sivil. Undang-undang Islam lebih bersifat mendidik dan mencegah.
Sebagai contoh, hukuman sebat mengikut syariah itu tidaklah sakit dan mencederakan tetapi ia dilakukan di khalayak awam untuk mendidik pesalah dan masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Kita wajar mencabar Kerajaan PH, SUHAKAM, Majlis Peguam dan sekalian pejuang hak asasi Barat itu menunjukkan bukti di manakah letaknya elemen kejam, mendera dan tidak berperikemanusiaan dalam hukuman sebat mengikut syariah.?

Seandainya Kerajaan PH tidak berminat untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah dan Perundangan Islam, sekurang-kurangnya hormatilah had sempadan bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Islam bukannya tertegak dengan pemikiran logik akal manusia semata-mata, rujuklah Al Quran dan Hadis petunjuk Ilahi yang relevan sepanjang zaman.

Perdana Menteri, Tun M memetik kalimah Basmalah untuk menjustifikasikan pendirian Kerajaan PH, tetapi Tun M mungkin terlupa di dalam Al Quran itu, bukan sekadar adanya khabar Syurga yang indah gembira sahaja, tetapi adanya juga khabar balasan dosa, ancaman neraka yang menyeksakan dan kisah bala hukuman terhadap mereka yang engkar sebagai pengajaran buat kita semua.

Catatan oleh;
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
06 September 2018

No comments:

Post a Comment