Usaha Kerajaan Pahang untuk membina
Rumah Makmur sebanyak 4,000 buah rumah dalam tempoh lima tahun bagi golongan
rakyat Pahang yang berpendapatan rendah dan sederhana memang sepatutnya dipuji
dan disokong kerana memiliki rumah sendiri merupakan impian dan cita-cita semua
orang khususnya pasangan yang telah
berumahtangga. Ini disebabkan keperluan tempat kediaman ini sama
pentingnya selepas keperluan makan dan pakai.
Namun rata-rata harga rumah yang
sudah sedia tinggi pada masa ini tidak memungkinkan semua yang memerlukan mampu
memilikinya. Apatah lagi peningkatan harga rumah tidak selari dengan pendapatan
rakyat.
Satu kajian menunjukkan bahawa
negara kita menduduki tangga ke 15 dalam kalangan negara-negara yang
mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi. Apatah lagi di kota-kota besar.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri
Wan Rosdy Wan Ismail berkata di Rompin kerajaan
negeri sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk pelaksanaan projek
berkenaan.
"Sebelum ini kita sudah
berjaya melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dengan
meluluskan pembinaan kira-kira 15,000 unit di seluruh negeri.
"Bagaimanapun kita dapati
ramai yang tidak mampu membeli kediaman PR1MA kerana ia ditawarkan pada harga
RM150,000 sedangkan permintaan terhadap rumah mampu milik ini sangat tinggi.
"Jadi, kita perkenalkan
projek Rumah Makmur yang ditawarkan pada harga RM80,000 bagi mereka yang
berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan," katanya kepada
pemberita.
Menurut satu kajian, sejak tahun
2009 harga rumah di Malaysia telah meningkat terlalu mendadak dengan kenaikan
10.1% setahun. Kenaikan ini amat luar biasa. Sehinggakan kajian mendapati
bayaran pinjaman seorang peminjam menjangkau 40 ke 60% daripada perbelanjaan
isi rumah.
Fenomena inilah yang menyebabkan
rakyat semakin tertekan di tengah-tengah kenaikan harga barang-barang keperluan
dan kejatuhan nilai ringgit.
PAS Pahang sendiri dalam
manifestonya pada PRU yang lalu telah menawarkan formula membantu rakyat dengan
mengagihkan tanah lot rumah dengan keluasan yang bersesuaian kepada rakyat yang berkelayakan. Di samping
itu PAS Pahang akan mengkaji semula status pemilikan skim-skim perumahan
sediada seperti PPRT, RPS yang kebanyakannya tiada hakmilik, supaya pada
akhirnya rakyat dapat memiliki rumah dan tanah sendiri pada kos mampu milik.
No comments:
Post a Comment