Sunday, September 30, 2018

Mantan Adun Tahan meninggal dunia


Bekas Adun Tahan selama dua penggal  Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak, 46, telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 6.30 petang tadi di Sri Lanka.

Difahamkan, beliau berada di sana kerana untuk menjalani rawatan penyakit-penyakit yang dihidapinya.

Adun Tahan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badardin dalam postingnya menulis: "Saya telah dimaklumkan sebentar tadi bahawa Dato' Seri Wan Amizan b. Wan Abdul Razak (Mantan ADUN Tahan) telah meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Sri Lanka. Bagi pihak PAS Dun Tahan, saya mengucapkan takziah kepada keluarganya di atas pemergian beliau.


"Saya mendoakan agar Allah Taala mengampunkan segala dosa dan kesalahannya serta diterima segala amal baktinya.

آمين يا رب العالمين."

Wan Amizan kalah kepada Zakhwan pada PRU 9 Mei lepas dengan majoriti tipis 69 undi.

Sementara itu dalam kenyataan lain, Zakhwan menyifatkan Allahyarham banyak berjasa kepada penduduk khususnya di Dun Tahan.

Sambil mengaku sebagai terkejut menerima berita pemergian rakan politiknya itu, baginya Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang disenangi penduduk Dun Tahan dan telah berjasa dua penggal sepanjang beliau menjadi wakil rakyat sebelum ini.

"Antaranya, allahyarham telah berusaha menyediakan kemudahan kepada penduduk termasuk jalan raya antara Kuala Tahan dan Ulu Tembeling serta mempromosikan pelancongan Taman Negara.


"Saya mewakili Pas kawasan Dun Tahan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan mendoakan agar segala kebaikan yang dilakukan olehnya mendapat ganjaran setimpal ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi.


No comments:

Post a Comment