Saturday, September 29, 2018

PRK PD Ibu segala PRK

✳ *PRK PORT DICKSON IBU SEGALA PRK*

1. Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat Pilihanraya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai 'Ibu Segala PRK', berasaskan kedudukannya yang bakal menentukan pimpinan utama negara. Berdasarkan hakikat tersebut, tidak tepat untuk membandingkan PRK Port Dickson ini dengan PRK-PRK yang berlangsung sebelum ini, seperti Seri Setia dan Sungai Kandis.

2. Selain daripada berbeza dari segi dampaknya terhadap lanskap politik negara, PRK Port Dickson ini diadakan di luar Selangor dan di luar kawasan bandar. Berbanding dengan PRK-PRK sebelum ini, berlaku di kawasan kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, PRK kali ini berlangsung di kawasan campuran bukan sahaja dari segi kaum tetapi juga dari segi kekuatan parti.

3. PRK Port Dickson dilihat bakal mencorak politik Malaysia sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-15, iaitu sama ada Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri atau Dr Mahathir Mohamad akan terus menerajui negara sehingga PRU ke-15. Pertembungan antara dua kem ini dalam PH, sudah tidak dapat dibendung malah sudah mulai menjadi sesuatu yang bukan rahsia lagi.

4. PPP menjangkakan, faktor kaum bukan lagi menjadi penentu kemenangan seseorang calon, meskipun Anwar Ibrahim dilihat terlalu bergantung kepada pengundi Cina. Sebaliknya, faktor yang bakal mencorakkan pengundian di Port Dickson ini ialah rasionaliti pengundi sama ada menerima pengosongan kerusi ini atau memprotes 'Langkah Port Dickson' tersebut.

5. Sekiranya pengundi menerima pengosongan kerusi ini dengan harapan bakal Perdana Menteri mewakili kawasan mereka, maka peratusan pengundi keluar dijangka tinggi dan Anwar mungkin berpeluang cerah. Sekiranya pengundi memprotes, berkemungkinan mereka tidak keluar mengundi atau mengundi pembangkang, menyebabkan peluang Anwar rendah.

6. Selain daripada isu kewajaran kerusi itu dikosongkan, PPP juga mengunjurkan isu peribadi Anwar dan sejarah hitamnya akan dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Melihat kepada jangkaan itu, PPP merasakan kehangatan PRK kali ini akan lebih berbahang selain mendapat perhatian meluas oleh banyak pihak di dalam dan di luar negara.


*Dr Mohd Zuhdi Marzuki*
*Pengarah PPP*

*29 September 2018*
*19 Muharram 1440*

No comments:

Post a Comment