Oleh ROSLI ABDUL JABAR
Hanya kerana RM20 untuk disedekahkan membeli ayam
Walimah Perdana Dun Tanjung Lumpur, dia sanggup menunggu saya didepan rumah.
Dia menghidap lelah dan kencing manis, dah berusia 70an, datang kerumah saya bermotorsikal
hampir 3 kilometer dari juga rumahnya. Dulu-dulu saya selalu ke rumahnya mengambil
buah jambu.
Agak lama juga tidak bertemunya. Keluar dari rumah
semalam untuk ziarah kawasan, nampak dia menunggu sambil duduk atas motorsikal.
Terkejut saya dibuatnya. Selepas bersalam dia memeluk saya, "lama tak
jumpa Ustaz". "Kenapa tak panggil saya, dok kat luar jer", tanya
saya "takpelah Ustaz, bukan nak lama pun, kejap jer, nak balik dah ni, nak
cucuk ubat pulak", katanya.
Seingat saya dia dah lama kena kencing manis, tapi dia
memang luar biasa, dia sanggup bermotorsikal pergi dengar ceramah PAS, walaupun
jauh. Kalau diajak naik kereta memang dia tak nak "susah ikut orang ni,
sorang senang" katanya. Kalau dengar ceramah pun dia tak suka duduk dengan
kawan, dia suka menyendiri dan duduk tempat org dia tak kenal, "duduk ngan
kawan-kawan ni suka sembang, kita nak dengar ceramah, tak guna mari ceramah
kalau nak sembang", katanya. Betul juga.
Kalau bab gotong royong, memang dia dan isterinya
nombor satu. Awal-awal dah datang, kalau ada masak-mask kat markas PAS, habis
segala hasil kebun dia bawa, keladi, tebu, keledek, ikut apa yang ada dibawanya
untuk jamaah makan.
"Duduk rumah jer sekarang ni, dok rok doh nok
kebun, ada batang getah dua tiga batang, upah orang siam menoreh, bolehlah dua
tiga ratus sebulan, yang tu lah buat makan berdua, padan doh", katanya. Anaknya
ada dua dan kedua-duanya meninggal masa remaja kerana kemalangan.
"Mek mu pun tak larat jugok doh, dia kirim salam
ke Ustaz. Dia nak ikut tadi, tapi kita tak bui, takut jatuh motor sebab dia
sakit lutut, boleh berjalan tapi sakit", ceritanya. Gi masjid orang bagi tau
Ustaz dok kumpul duit nak beli ayam untuk nikah ramai2, tu yang mari, nak
sedekah sikit, sekor jer", sambil dia genggamkan duit dlm tangan saya RM20.
Nak ambil pun serba salah, kesian ke dia, tapi ambil
juga sebab itu hajat dia. "Entoh esok lusa mati dah kita ni" katanya.
"Kita orang miskin ni bagi sikit jer, orang kaya boleh bagi banyak, kita
buatlah apa yang kita mampu, walaupun sikit mudah-mudahan, insyaAllah besar di sisi
Allah SWT," katanya.
Sebelum berlalu dia minta saya doakan dia dan
nasihatkan saya supaya istiqamah dan sabar banyak dengan perjuangan. " Takpelah
Ustaz weh, susah sikit, penat sikit pun, bukannya lama, semua orang penat. Orang
sibuk kumpul harta pun penat juga, sibuk kejar pangkat pun penat juga, jadinya
biarlah kita penat kerana Islam. InsyaAllah, Allah SWT tahu apa yang kita buat,
janji kita ikhlas" katanya.
Perlahan-lahan motornya berlalu meninggalkan saya,
sebagaimana perlahannya pergerakkan dia, insan yang saya kenal sejak muda di waktu
tubuhnya sihat. Kulitnya tegang kini telah berkedut dari kepala dingga hujung
kaki, namun masih istiqamah dalam perjuangan dengan kemampuan yang ada padanya
walaupun di saat dia sedang meniti hari-hari terakhir dalam kehidupannya. Memang
jasadnya miskin tapi dia berjiwa jutawan.
Ustaz Rosli Abdul Jabar ialah Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur
No comments:
Post a Comment