Monday, September 24, 2018

Langkah PD Anwar tidak perlu – Nasrudin Tantawi

Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menganggap Langkah PD yang membawa kepada PRK Port Dickson bagi membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen seterusnya menjadi Perdana Menteri ke 8, sebagai tidak perlu.

Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Temerloh, dalam tulisan terbarunya memberi alasan bahawa kedudukan kewangan negara sebagaimana didakwa dan pembaziran wang rakyat adalah bagi merasionalkan pendapatnya.


“Terdahulu pada 21 Mei 2018, YAB Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed) telah dedahkan kedudukan kewangan negara yang tenat, ekoran hutang negara mencecah RM1 Trillion. Justeru itu, kerajaan PH tubuhkan Tabung Harapan pada 2 Jun 2018 untuk kutip derma dari rakyat.

“Alangkah baiknya jika anggaran peruntukan RM3.6 juta itu ditabungkan ke Tabung Harapan dan PRK itu tidak perlu diadakan. Datuk Seri Anwar boleh tunggu PRU ke 15 untuk merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri ke 8.”

Katanya, Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood telah nyatakan bahawa 1,403 petugas dilantik untuk kendali pilihanraya kecil Port Dickson pada 13 Oktober kelak. Mempunyai 39 pusat mengundi dengan 171 saluran. Ini memerlukan peruntukan kos sebanyak RM3.6 juta.

“Orang Gopoh Selalu Rugi,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan berikutan kerusi tersebut dikosongkan penyandangnya bagi memberi laluan kepada Anwar. SPR menetapkan pada 13 Oktober hari mengundi, hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal pula pada 9 Oktober. Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemas kini sehingga 11 September lalu.

Ini merupakan kali kelima PKR bertindak mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada tokoh tertentu dalam parti.

Tidak dipastikan kenapa Anwar bertindak mahu segera ke parlimen. Namun cakap-cakap umum mentafsirkan bahawa Tun M kelihatan cuba memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemilik kerusi kecil dalam gabungan kerajaan PH. Ini dilihat melalui semakin ramai ahli-ahli parlimen Umno yang menyeberang ke arah ganbungan tersebut.

Sedangkan mengikut konsensus PH Tun M hanya diberi kuasa menerajui kerajaan selama dua tahun sahaja dan selepas itu kerusi tersebut akan dilepaskan kepada Anwar.

Pada ketika ini PKR sedang mengadakan pemilihan parti dan terdapat kempen kelompok-kelompok yang bertembung khususnya Azmin vs. Rafizi mengatakan sebenarnya proksi Tun M vs. Anwar.

Wallahuaklam.


No comments:

Post a Comment