Monday, June 4, 2018

Timbalan Presiden, Adun Jengka ziarah mangsa kemalangan

BANDAR JENGKA: Empat wakil rakyat PAS menziarahi mangsa kemalangan di Unit Forensik Hospital Jengka, di sini, tengah hari tadi.

Mereka ialah, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid; Adun Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Latif dan Adun Air Putih, Cikgu Abdul Razak Ibrahim.

Menyampaikan ucapan takziah buat keluarga, Tuan Ibrahim turut berkata, PAS membantu meringankan beban keluarga nahas dengan menyelesaikan pembayaran bil hospital dan menyediakan van jenazah.


“Saya difahamkan keluarga mahu membawa balik jenazah ke Kemaman jadi kita membantu menyegerakan urusan menyediakan pengangkutan empat van jenazah.

“Marilah kita mendoakan kesejahteraan semua mangsa yang bertemu ALLAH SWT dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadan. Semoga pemergian ini pemergian yang diredhai ALLAH SWT,” katanya.

Kesemua wakil rakyat tersebut dilihat turut memasuki unit forensik hospital bagi menziarahi jenazah dan menenteramkan suami yang juga bapa kepada semua mangsa, Mazlan Mohd Rashid, 54.

Kemalangan di Kilometer 161 LPT Maran pagi semalam (Ahad) itu mengorbankan empat ahli keluarga Mazlan, termasuk isterinya, Azian Abdullah, 50.

Kesemua mangsa dari Felda Cheneh itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah membeli belah bagi persiapan sambutan eidulfitri.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment