JERANTUT: Berat
mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya itulah perumpamaan yang sesuai
kepada pasangan Ahmad Zainudin dan Puan Siti Nor Zurain di Perumahan Banjir Kuala
Teh.
Anak ketiga pasangan ini iaitu Adik Siti Nurjannah
Humaira, 7 bulan, menghidapi penyakit Sindrom Vacterl yang menyebabkan jantung
berlubang, masalah paru-paru kronik, saiz tulang rusuk dan tulang belakang
tidak sekata, tiada tulang paha kanan, tulang paha kiri terlalu pendek, kaki
bengkok, jari tangan tidak normal dan sumbing lelangit sejak lahir.
Lebih menyedihkan apabila bayi berkenaan terpaksa
bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas selain minum susu khas yang
diberi melalui tiub.
Dalam lawatan Adun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
di rumahnya ibu bayi terbabit, Siti Nur Zurain Fatima Ab Razak, 30, berkata,
sebaik Siti Nur Jannah dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas)
Temerloh, bayinya telah ditempatkan di ‘neonatal intensive care unit’ (NICU)
selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad biasa selama dua bulan.
Menurutnya, setelah enam bulan barulah doktor membenarkan
anak bongsu dari tiga beradik itu pulang ke rumah namun memerlukan rawatan
lanjut dan perhatian yang rapi.
“Sepanjang saya mengandungkan Jannah tidak timbul
sebarang masalah malah sewaktu ‘scan’ perut pun doktor maklumkan bayi saya
normal.
“Namun sebaik dilahirkan, saya dimaklumkan oleh doktor
mengenai masalah yang dihidapi oleh Jannah. Biarpun sedih tapi saya reda dengan
ujian dari ALLAH dan berjanji akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.
Sempena kunjungan itu Mohd Zakhwan turut menyampaikan
sumbangan kepada keluarga bayi malang tersebut.
Siti Nur Zurain berkata, selain Siti Nur Jannah yang
menghidap pelbagai penyakit, anak sulungnya, Ahmad Adi Putra, 9, juga
menghidapi penyakit jantung berlubang dari kecil dan telah menjalani dua kali
pembedahan bagi menutup lubang jantung iaitu ketika berusia tiga bulan dan tiga
tahun.
Jelasnya, lebih sukar lagi apabila suaminya, Ahmad
Zainuddin Abdul Rahman, 44, turut disahkan mengalami masalah saraf tulang
belakang bermula tahun lepas yang menyebabkannya tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.
“Suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak
seberapa, ditambah dengan penyakit saraf tulang belakang yang dihidapi
menyebabkan pergerakannya agak terbatas.
“Perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung kami
termasuk membeli susu khas Jannah yang berharga RM80 setin, perbelanjaan
persekolahan dua anak serta kos ulang-alik membawa anak sulung serta bongsu ke
Hoshas dan Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.
“Saya juga merancang untuk beli sendiri tabung oksigen
untuk kegunaan Jannah namun difahamkan harganya agak mahal ditambah dengan
kekangan sumber kewangan. Buat masa sekarang unit kebajikan Hoshas Temerloh
meminjamkan buat sementara waktu tong oksigen untuk kegunaan anak saya,”
katanya.
Dalam pada itu Zakhwan menyeru kepada yang prihatin dan
ingin membantu keluarga ini bersempena dengan 10 terakhir Ramadhan yang Allah
Taala gandakan segala sedekah dan kebaikan, bolehlah menyalurkan sumbangan ke
Akaun Bank Islam Malaysia Berhad yang bernombor (06 0550 2034 4689) atas nama
Puan Siti Nor Zurain Fatim bt. Ab Razak atau mengbubungi Puan Siti Nor Zurain
ditalian 013-946 4473.
“Hari ini kita membantu mereka, mana tahu satu hari
nanti kita pula perlukan bantuan orang lain,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment