Wednesday, June 6, 2018

Perang Ahzab melakar sejarah

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Perang Ahzab adalah mercu tanda pertembungan diantara iman dan kufur dizaman ar Rasul SAW. Peristiwa ini akan dikenang sehingga kiamat oleh orang-orang beriman setiap kali kita menyambut hariraya, tanpa jemu kita akan terus menyebut peristiwa ini.

Peristiwa ini berlaku kerana kebencian dan permusuhan golongan yahudi yg tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yg berpengkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yg tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Mekah yg dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yg terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yg lain untuk menyerang orang Islam di Madinah.

Tentera Musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi daripada luar kota Madinah manakala beberapa panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud.


Peristiwa selanjutnya ialah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan Musyrikin tersebut dan para sahabat. Saidina Ali KWJ telah bertarung (Al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh sahabat-sahabat yg lain. Saidina Ali memang terkenal dengan seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi SAW, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi SAW.


Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan sahabat-sahabat dan Nabi SAW dimanifestasikan melaui laungan takbir mereka. Dalam peristiwa perang Ahzab yg berlaku di musim sejuk ini dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan yg mana mereka sepatutnya sama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif iaitu mereka sepatutnya mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah.

Kelompok Yahudi ini melakukan pengkhianatan kerana dihasut oleh Huyai bin Aktab iaitu pemimpin Yahudi Bani an-Nadhir.
Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan 6 orang sahabat telah gugur sebagai syuhada', manakala Musyrikin kehilangan 10 orang tentera mereka. Dalam pertempuran ini, sahabat kanan yang sangat Nabi SAW kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa'ad bin Mua'dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh.

Allah SWT Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas dendam telah membantu para pejuangnya yang ikhlas dalam peristiwa perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yg disebut dalam Al-Quran, surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yg dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yg kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan."

Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi Al-Haqiq ini telah berjaya menyakinkan Abu Suffian tentang buah kemenangan yg akan mereka kecapi jika pemuafakatan kuffar ini berjaya dilaksanakan. Beberapa kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, seperti kabilah Bani Ghatfan, kabilah Bani Murrah dan lain-lain lagi. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yg sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.

Nabi SAW telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan sahabat-sahabat yg lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi SAW tertarik dengan cadangan yg diberikan oleh seorang sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yg mencadangkan supaya parit digali di keliling kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai dipihak musuh.

Rasulullah SAW telah mengatur persiapan dan pertahanan 
tentera Islam dengan membahagikan sahabat-sahabat kepada beberapa kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi SAW bertungkus-lumus dengan sahabat-sahabat yg lain menggali parit dna merangsang semangat sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad.

Dalam operasi ini juga, Allah SWT memperlihatkan beberapa mukjizat yg dikurniakan kepada Nabi SAW, seperti mampu memecahkan batu yg sangat pejal yg tidak mampu dipecahkan sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, maka parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 bala tentera musuh.

Dalam pertembungan yg bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang sahaja dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang Munafik yg dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah.

Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh yg ramai ini, para sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan yg begitu tinggi, sepertimana Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud:

"Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita dan benarlah Allah dan RasulNya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan."

Peristiwa ini sarat dengan ibroh kepada pejuang Islam disepanjang zaman, bahawa orang beriman akan terus dikepung oleh musuh-musuh Islam yang bersatu. Mereka berbeza ideologi, citra dan nuansa namun untuk mengepung Islam dan umat Islam mereka akan satukan pakatan dan pemuafakatan. Malanglah umat Islam yang tidak mengambil pelajaran daripada peristiwa besar ini, pragmatis,sekular, liberal,sosialis mengepung dan menerjah agama Allah dan kita hanya mampu berpeluk tubuh melihat kemaraan Ahzab moden.

(Penulis adalah AJK Pas Pusat,Pengerusi LESTARI)

No comments:

Post a Comment