Wednesday, June 13, 2018

Malaysia Baharu: Kronism selepas Kleptokrasi?

Selepas 30 hari rejim baru pimpinan Tun Dr Dr Mahathir Mohamed menggantikan yang lama, ‘report card’ beliau belum mencatatkan yang memberangsangkan. Ada saja tindakan-tindakan daripada kerajaan baru ini dikritik kerana jauh daripada yang diharapkan sebagaimana dijanjikan.

Terbaru, satu tulisan mengaitkan Tun M dengan tabiat penyakit lama zamannya iaitu kronisme.

Umum masih mengingati, pada Perhimpunan Agung Umno terakhir sebelum dipecat, Anwar semasa merasmikan perhimpunan sayap-sayap parti pernah mengungkit tentang korupsi, kronisme, nepotisme (KKN) yang secara sinikalnya dituju kepada Dr Mahathir. Dr Mahathir pula dalam ucapan balasnya menganggap sindiran itu ditujukan kepadanya dan berkata cubaan membandingkan beliau dengan pentadbiran Soeharto di Indonesia yang dijatuhkan hasil gelombang reformasi rakyat ketika itu. 

Berikut disiarkan satu tulisan yang mengaitkan Tun M dengan kronisme


Kronism adik kembar Kleptokrasi yang tiada penghujungnya

Ada masanya Allah uji kita diberi kuasa dan berada di atas. Kini apabila tayar bergolek dan kita berada di bawah, tiada lagi kuasa dan pengaruh maka yang bersama-sama kita ketika senang dahulu semakin hari semakin meninggalkan kita.


Itulah ciri-ciri perjuangan yang tiada nilai istiqamah. Tiada matlamat dan dasar yang jelas yang dipegang dan dipertahankan bersama. Andai BN itu sifatnya Nasional yang merangkumi semua kaum dan penduduk, kini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Progressive Democratic Party (PDP) dan Sarawak United People’s Party (SUPP) telah meninggalkan BN dan membentuk coalition yang baru Gagasan Parti Sarawak.

Ibarat sebuah gedung pasaraya yang baru dibuka, ramai yang akan berbondong-bondong pergi utk mendapatkan diskaun dan promosi pada harga yang rendah dan tawaran yang menarik. Kerana itulah lumrah sesuatu yang sifatnya Baharu. Namun terkadang yang Baharu itu belum tentu sifatnya mampan dan tahan ujian. Jua tawaran yang dilihat menarik itu terkadang masih lagi sifatnya tidak zahir sepenuhnya. Yang tersirat masih berselindung disebalik yang tersurat agar dilihat baik dan dipercayai.

Bahkan yang tersirat ini juga sifatnya 2x5 dengan kebobrokan, kerosakan, kleptokrasi dan salah laku yang sedang diperjuangkan. Andai padang yang sama rata, pastinya apa yang diperjuangkan terkena ke batang hidung sendiri. Seperti rakan kongsi syarikat-syarikat kroni yang masih lagi menikmati dasar monopoli seperti Robert Kuok Raja Gula yang menjadi tulang belakang ekonomi Kerajaan kini, Ting Pek Khiing yang mendapat modal RM30 billion untuk meneruskan Projek Langkawi New City sedang projek2 mega yang lain diberhentikan atas dasar penjimatan, hubungan baik Tan Sri Taib Mahmud selaku mantan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu & Mantan Ketua Menteri Sarawak dengan TM yang suatu ketika dahulu dikecam hebat oleh Ambiga dan DAP sendiri kerana kekayaan peribadi dan keluarga berbillion ringgit (lebih RM 60 Billion). Beranikan Ketua SPRM yang baru Datuk Shukri Abdull dan Ambiga, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang kini diangkat sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan, meneruskan siasatan membongkar kekayaan Taib Mahmud setelah di angkat semula oleh TM hanya kerana ingin menyiasat skandal 1MDB semata2. Tetapi tidak pada meneruskan siasatan kekayaan luar biasa yang memungkinkan salah guna kuasa Taib Mahmud yang kini menjalin hubungan baik semula dengan PH.

Inilah yang dikatakan berselindung disebalik yang zahir pada satu pihak yang sememangnya telah lama menindas dan menzalimi rakyat. Sedang kezaliman dipihak sendiri akan ditutup rapat dengan menzahirkan tindakan ke atas pihak yang zalim itu.

Sememangnya, Malaysia Baharu yang diperjuangkan ini semakin hari semakin menggusarkan kerana kita tidak nampak permainan mereka yang berkuasa di atas sana. Hanya apabila nasi telah menjadi bubur dan 'suara dan gelombang rakyat' naik kembali kerana kezaliman yang cuba ditutup ibarat menutup bangkai gajah dengan daun akan berbau jua akhirnya, barulah rakyat dapat melihat adakah PH mampu berhadapan dengan ujian yang sebenar ini.

Firman Allah dalam surah As saff ayat 2-3:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Semoga PH dapat mengotakan kata2 mereka dengan turut mencerminkan tindakan ke atas orang lain kepada diri mereka jua. Agar Malaysia benar-benar Baharu dan bebas dari skandal rasuah, penyelewengan, kronism dan kleptokrasi yang tiada penghujungnya.

No comments:

Post a Comment