Thursday, June 28, 2018

Apakah 8 Adun PAS akan dapat peruntukan?

Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang masih belum bermula lagi, meskipun PRU 14 telahpun 49 hari berlalu.

Jika di peringkat Pusat kerajaan telah bertukar tangan, di Pahang kerajaan negeri masih diterajui BN dengan kerusi yang berkurangan tanpa majoriti dua pertiga. Daripada 42 kerusi, 17 dimenangi PAS (8), Dap (7) dan PKR (2).

Seperti yang diketahui umum, negeri Pahang sebelum ini tidaklah menjana pendapatan dan hasil yang tinggi malah hutang pula dikatakan telah menjangkau dua bilion ringgit. Dengan lain-lain perkataan, Pahang bukanlah sebuah negeri yang kaya. Jika Terengganu dan Kelantan (kedua-duanya dari PAS) baru-baru ini bertemu Perdana Menteri Tun Mahathir untuk menuntut janji manifesto supaya mengembalikan wang royalti petroleum, sebaliknya Pahang tiada hak berbuat demikian.

Lalu bagaimana jangkaan perjalanan kerajaan selepas ini?


Jika kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui Datuk Seri Adnan Yaakob menjadikan pinjaman dan geran daripada Pusat sebagai sumber hasil utama, kini kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula merupakan kerajaan pembangkang kepada kerajaan Pusat.

Seperti dimaklumi, negeri lebih 80 peratus kawasan di negeri Pahang ini boleh ditakrifkan sebagai luar bandar. Ini bermakna peruntukan dan dana amat diperlukan bagi memacu kemajuan di negeri ini.

Sesuatu yang menarik ialah kedudukan Adun PAS yang 8 orang itu. Kelapan-lapannya adalah Adun pembangkang dan menjadi wakil kepada rakyat di negeri pembangkang pula. Ertinya, dua kali pembangkang.

Kita pernah mendengar bahawa sebelum PRU yang lalu PH yang kini memegang tampuk pemerintahan menguar-uarkan slogan ‘Malaysia Baharu’. Tidak diketahui apa maksud sebenar dengan istilah Malaysia Baharu itu. Apakah ia bererti tidak ada lagi dendam politik pada era PH ini? Apakah tidak ada lagi diskriminasi kepada negeri-negeri di bawah pembangkang? Apakah peruntukan wakil-wakil rakyat akan diagihkan tanpa mengira status parti? Inilah yang sedang diperhatikan umum.

Berbalik kepada negeri Pahang, di penghujung puasa lalu Menteri Besar berkata dalam satu majlis bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan samada perlu menyalurkan sejumlah peruntukan kepada Adun pembangkang di negeri ini atau sebaliknya. Bagaimanapun ia akan diputuskan selepas mengambil kira kedudukan kewangan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meraikan hampir 2,000 pelajar dan kakitangan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) dalam satu majlis berbuka puasa, seperti disiarkan oleh media tempatan.

Sebelum ini, beberapa negeri yang dipimpin PH mengiktiraf peranan pembangkang dengan memberi peruntukan kepada semua Adun.

Namun satu perkara yang perlu difikirkan sekarang, barangkali semuanya setuju, setelah 61 tahun merdeka, ialah ‘political will’ yang berupaya mengetepikan status berparti demi kemajuan rakyat dan negeri ini.

Kefahamannya ialah dana dan wang peruntukan adalah khazanah negara dan di negeri Pahang 1.5 juta penduduknya sepatutnya layak untuk mendapat manfaatnya.

Apa gunanya politik baharu jika aksi dan lagaknya serupa dengan kerajaan yang lama. Sudah lebih enam dekad rakyat di negeri dan negara ini sudah rosak sistem dan strukturnya akibat dendam politik, maka sepatutnya dalam peradaban moden ini titik-bengik seperti itu tidak diulangi lagi.

Inilah masanya kita menguruskan kekayaan negeri dan negara ini dengan mengembalikan kepada haknya dengan memanfaat kemewahaan alam semula jadi yang dianugerahkan Allah ini.

Harapan kita, bukan sahaja tokoh politik dan pimpinan memahami konsep ini, malah para ulamak juga diharap dapat memainkan peranan ini menyedarkan pemerintah agar Pahang benar-benar pada suatu masa nanti menjadi darul makmur.

No comments:

Post a Comment